Keluarga terima segala kemungkinan berlaku
- Admin UKK
- Berita
PETALING JAYA: Keluarga 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan susulan bencana banjir di Nepal pada 26 Ogos lalu kini bersedia menerima segala kemungkinan selepas memasuki hari ke-15 tanpa sebarang khabar berita mengenai mereka.
Anak kepada V. Krishnan, 74, yang dilaporkan hilang dalam bencana itu, K. Divya Varshini, 29, berkata keluarganya masih berharap bapanya dapat ditemukan, namun pada masa sama perlu berdepan dengan sebarang kemungkinan.
“Sejujurnya, saya sendiri tidak pasti lagi. Saya takut untuk terus berharap dan percaya.
“Tetapi pada masa sama, saya rasa bersalah kalau saya langsung tidak mempunyai harapan.
“Saya juga perlu berdepan dengan realiti dan perlahan-lahan menerima apa sahaja kemungkinan yang berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Menurutnya, sehingga kini tiada perkembangan atau maklumat lanjut diterima daripada pihak kedutaan selepas sampel asid deoksiribonukleik (DNA) waris diambil minggu lalu bagi membantu usaha mengenal pasti mangsa.
Katanya, bapanya yang berlepas pada 23 Ogos lalu amat teruja mengikuti perjalanan keagamaan ke Gunung Kailash yang menjadi impiannya sejak dahulu.
“Dia sangat teruja dapat pergi ke sana dan sepatutnya pulang pada Ahad lalu, namun kini kami masih berharap keajaiban,” katanya.
Sementara itu, isteri kepada Mohd. Fakhrul Munir Mohd. Isa, 44, atau Loe, Hani Othman, menyerahkan sepenuhnya usaha pencarian kepada pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).
Katanya, dia yang kini berada di Kathmandu memilih untuk tidak kembali ke kawasan berkenaan bagi mengelakkan gangguan terhadap operasi pencarian.
“Saya yakin dengan kepakaran pasukan SMART yang lebih berpengalaman dalam mengendalikan operasi pencarian dan percaya mereka tahu apa yang perlu dilakukan.
“Saya letakkan sepenuh kepercayaan kepada pasukan SMART. Mereka lebih pakar dan saya yakin mereka tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.
Menurutnya, dia turut menghargai bantuan rakyat Nepal yang banyak membantu sepanjang berada di negara berkenaan.
“Apabila berada di sini, perasaan bercampur-baur, namun orang Nepal sangat membantu kami,” katanya.
Seramai 55 rakyat Malaysia dilaporkan masih gagal dihubungi susulan bencana itu, manakala 77 lagi yang dikesan selamat di Tibet dan Nepal sudah dibawa ke Kathmandu bagi menjalani proses sebelum pulang ke Malaysia. – UTUSAN
