OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Hujan hampir setiap hari, operasi dron SMART di Nepal terjejas

Hujan hampir setiap hari, operasi dron SMART di Nepal terjejas

PETALING JAYA – Keadaan cuaca hujan hampir setiap hari menjadi cabaran utama Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dalam melaksanakan operasi cerapan menggunakan dron di Nepal.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam satu kenyataan berkata, operasi pada hari keempat SMART hari ini tergendala akibat keadaan cuaca yang tidak mengizinkan sekali gus mengekang usaha penerbangan dron bagi mengumpul data serta imej udara di kawasan terjejas.

“Keadaan cuaca yang hujan hampir setiap hari mengekang usaha penerbangan dron.

“Pasukan SMART sentiasa meneliti kaedah yang paling sesuai bagi memastikan aktiviti cerapan dan pengumpulan data foto udara dapat dilaksanakan secara optimum,” ujarnya.

Tambahnya, data yang diperoleh akan dianalisis bagi mendapatkan gambaran keadaan kawasan terjejas selain melengkapi atau menambah baik data sedia ada untuk menyokong perancangan operasi seterusnya.

Dalam pada itu, seramai 10 anggota SMART diketuai Inspektor Abdullah berlepas dari Markas Taktikal Tentera Nepal di Trishuli pada pukul 10.45 pagi waktu tempatan menuju ke Dhunche menggunakan helikopter MI-17.

Pasukan berkenaan selamat tiba di Dhunche kira-kira 45 minit kemudian sebelum memulakan persediaan operasi di kawasan tersebut.

Dhunche dijadikan pangkalan hadapan taktikal bagi pengurusan operasi bencana di Rasuwa yang meliputi Timure, Syafrubesi, Dhunche dan Mailung.

“Setibanya di lokasi, Pasukan SMART akan membangunkan pangkalan hadapan sebagai lokasi persediaan dan penginapan sementara mereka sekiranya keadaan operasi memerlukan,” katanya.

Sementara itu, operasi hari ini memberi tumpuan kepada aktiviti cerapan dron meliputi kawasan antara Syafrubesi dan Timure yang dijadualkan mengambil masa selama dua hari.

Bagi memastikan liputan imej udara menyeluruh, kawasan cerapan dibahagikan kepada empat sektor utama iaitu Sektor A, B, C dan D.

Tugasan turut dipecahkan kepada dua pasukan dengan setiap pasukan terdiri daripada lapan anggota, masing-masing membabitkan empat anggota SMART dan empat anggota Angkatan Tentera Nepal. – KOSMO! ONLINE

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search