OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

SAR masuk minggu kedua, korban banjir Nepal meningkat 1,280, lebih 5,620 hilang

SAR masuk minggu kedua, korban banjir Nepal meningkat 1,280, lebih 5,620 hilang

ISTANBUL: Angka kematian akibat banjir kilat dahsyat di Nepal dan China meningkat kepada 1,280 setakat semalam, manakala lebih 5,620 orang masih hilang ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki minggu kedua.

Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan Nepal dalam kenyataan semalam berkata, seramai 1,259 orang maut di negara itu, manakala 5,083 lagi masih hilang.

Mereka yang masih hilang termasuk 583 warga asing. Lebih 21,400 anggota keselamatan dikerahkan bagi operasi berkenaan.

Dalam pada itu, keluarga di kawasan terjejas banjir di Nepal mengadakan upacara pengebumian secara simbolik bagi insan tersayang yang masih hilang.

Di negara jiran, China, 21 orang maut, manakala 541 lagi masih hilang termasuk 261 warga asing, menurut pihak berkuasa tempatan.

Di Rasuwa, antara daerah paling teruk terjejas di Nepal, keluarga menghasilkan patung mayat menggunakan kaas-kush iaitu rumput suci dan menjalankan upacara terakhir bagi 'membebaskan roh' saudara mereka yang hilang selepas kehilangan harapan untuk menemui jasad mereka, lapor Kathmandu Post.

Rabu lalu, berpuluh-puluh patung berkenaan dibakar dalam upacara pengebumian beramai-ramai di kuil Pashupati Aryaghat di Kathmandu yang terletak di tebing Sungai Bagmati.

Di Chitwan, satu lagi daerah yang terjejas teruk, pihak berkuasa mengebumikan mayat yang tidak dikenal pasti selepas sampel asid deoksiribonukleik (DNA) diambil kerana jumlah jasad yang ditemui menyukarkan proses pengecaman dan penyimpanan secara individu.

Ramai mangsa banjir kini tidak mempunyai tempat untuk menjalankan upacara berkabung selepas banjir menghanyutkan ahli keluarga serta kediaman mereka di beberapa daerah.

Mereka yang kehilangan segala-galanya dan pergi ke Kathmandu untuk mendapatkan perlindungan juga tidak dapat mencari ruang di kemudahan awam bagi menjalankan upacara berkenaan.

Semalam, anggota tentera, polis dan pasukan lain meneruskan operasi SAR di kawasan dilanda banjir.

Bagaimanapun, pasukan penyelamat berdepan kesukaran berikutan gangguan jalan raya, bekalan elektrik dan komunikasi di kawasan yang luas.

Mereka turut berusaha menyalurkan bekalan bantuan serta memastikan kebersihan di pusat perlindungan bagi mencegah penularan penyakit berjangkit.

Bencana yang berlaku pada 26 Ogos apabila glasier di Gunung Langtang Lirung, Nepal pecah pada altitud kira-kira 5,200 meter, mencetuskan runtuhan ais dan batu yang kemudiannya menjadi aliran debris besar sebelum melanda lembah di sepanjang kawasan sempadan.

Air banjir dan tanah runtuh memusnahkan daerah Rasuwa, Nuwakot, Dhading dan Kavre di Nepal, selain Lembah Kathmandu, manakala turut menimbus pintu sempadan Gyirong di Wilayah Autonomi Xizang, barat daya China yang juga dikenali sebagai Tibet.

 

 

 

 

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search