Jerebu: 29 kawasan catat IPU tidak sihat, Serian tertinggi
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu di seluruh negara menunjukkan sedikit pemulihan apabila jumlah kawasan yang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat menurun kepada 29 kawasan setakat jam 2.30 petang tadi.
Jumlah itu berkurangan berbanding 32 kawasan yang merekodkan bacaan pada tahap sama pagi tadi.
Berdasarkan data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU tertinggi direkodkan di stesen pemantauan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian, Sarawak iaitu 182.
Ia diikuti Johan Setia, Selangor dengan bacaan 173; Sri Aman, Sarawak (170); Shah Alam, Selangor (162) dan Kuching, Sarawak (160).
Turut merekodkan bacaan tidak sihat ialah Tanjung Malim, Perak (157); Minden, Pulau Pinang (156); Samarahan, Sarawak (156); Taiping, Perak (155); Tasek Ipoh, Perak (155); Putrajaya (155) dan Bukit Rambai, Melaka (155).
Batu Muda, Kuala Lumpur pula merekodkan bacaan 154, diikuti Nilai, Negeri Sembilan (154); Sungai Petani, Kedah (153); Pegoh Ipoh, Perak (153); Kuala Selangor, Selangor (153) dan Sarikei, Sarawak (153).
Seberang Perai, Pulau Pinang merekodkan bacaan 152, sama seperti Seri Manjung, Perak; Petaling Jaya, Selangor; Seremban, Negeri Sembilan; Alor Gajah, Melaka; Segamat, Johor; Batu Pahat, Johor dan Tangkak, Johor.
Klang, Selangor pula merekodkan bacaan 151, manakala Banting, Selangor (146) dan Balik Pulau, Pulau Pinang (139).
Mengikut klasifikasi IPU, bacaan 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya.
Pada masa sama, sebanyak 38 stesen pemantauan merekodkan bacaan pada tahap sederhana, manakala tiada stesen berada pada tahap sangat tidak sihat atau berbahaya.
Stesen pemantauan Cheras, Kuala Lumpur pula tidak mempunyai bacaan.
Data IPU dikeluarkan setiap jam berdasarkan pemantauan di 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara.
