OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Jerebu dijangka hingga September

Jerebu dijangka hingga September

PETALING JAYA: Rakyat negara ini dijangka terus berdepan isu jerebu sehingga hujung September mengambil kira fasa akhir Monsun Barat Daya.

Selain itu, ia juga bergantung kepada bila kebakaran hutan di Indonesia dapat dipadamkan sepenuhnya.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, arah tiupan angin dari negara jiran itu ke negara ini dikenal pasti sebagai faktor utama yang menyebabkan jerebu semakin teruk.

Jelas beliau, arah tiupan angin itu sepanjang musim Monsun Barat Daya telah membawa jerebu rentas sempadan akibat kebakaran hutan di negara jiran yang masih belum terkawal.

Katanya, keadaan cuaca panas dan kurang hujan di negara akibat daripada Monsun Barat Daya pula dijangka akan berterusan hingga penghujung September.

“Selagi masih berlaku kebakaran yang tidak dikawal, agak sukar untuk jerebu berkurangan sebab tiupan angin sepanjang musim monsun ini adalah dari Indonesia ke negara kita

“Jika terdapat peningkatan dalam taburan hujan masalah jerebu ini akan dapat dikurangkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebanyak 29 kawasan di seluruh negara masih merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat pukul 3 petang semalam.

Bagaimanapun, jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding 32 kawasan pada sebelah pagi.

Berdasarkan data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian, Sarawak merekodkan bacaan tertinggi iaitu 182.

Di Sarawak, selain Serian, kawasan lain yang merekodkan bacaan tidak sihat ialah Sri Aman (170), Kuching (160), Samarahan (156) dan Sarikei (153).

Mengulas mengenai Operasi Pembenihan Awan (OPA) bagi mengatasi masalah itu, Mohd. Hisham berkata, keadaan atmosfera dan pembentukan awan semasa di kawasan terjejas masih belum kondusif untuk berbuat demikian.

Tambahnya, bagi unjuran tiga hingga lima hari akan datang, kualiti udara bergantung sepenuhnya kepada perkembangan di lapangan terutamanya usaha mengawal kebakaran di negara jiran.

“Masalah jerebu ini dijangka berkurangan jika api berjaya dipadamkan dan semakin buruk sekiranya sebaliknya,” katanya. – UTUSAN

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search