OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

El Nino uji daya tahan sektor pertanian Sarawak

El Nino uji daya tahan sektor pertanian Sarawak

KUCHING, 12 Ogos: Cuaca panas melampau akibat fenomena El Nino bukan sahaja menjejaskan kesihatan, malah kini mula mengancam keterjaminan makanan serta meningkatkan kos sara hidup rakyat di Sarawak.

Ancaman gelombang Super El Nino dijangka akan memburukkan lagi keadaan menerusi pengurangan taburan hujan, kenaikan harga barangan dapur, serta risiko gangguan bekalan air.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan UNIMAS, Dr Aila Abdul Latif berkata sektor pertanian Sarawak menjadi barisan hadapan yang paling teruk terjejas, dengan pengeluaran hasil tani tempatan yang merosot secara langsung memicu kenaikan harga sayur-sayuran dan barangan asas.

“Bila berlaku kepanasan yang melampau tentunya barang-barang air sudah semakin kurang.

“Kemudian ketahanan petani akan berkurangan kerana cuaca yang begitu menduga. Jadi semua ini akan menurunkan menurunkan kadar produktiviti.

“Apabila seluruh dunia terjejas dengan El Nino, pastinya kita akan terganggu juga dari segi ekosistem dan penyediaan makanan. Kosnya akan semakin meningkat dan meningkat lagi,” katanya menerusi program Dialog TVS pada Selasa.

Menurut Dr Aila, menghadapi ancaman El Nino menuntut tindakan penerapan prinsip alam sekitar, sosial dan tata kelola (ESG).

“Kita perlu menterjemahkan bagaimana kita memahamkan generasi muda kita, apa yang mereka perlu lakukan. Bukan setakat tanam sayur, tetapi dari segi pemeliharaan dan pemuliharaan keadaan yang berlaku di persekitaran.

“Yang terakhir adalah tadbir urus, iaitu dari segi akauntabiliti yang memastikan tiada pencemaran serta pengurusan penalti kepada sesiapa yang membuat kebakaran hutan dan sebagainya,” tambahnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Teknologi Sumber UNIMAS, Prof Madya Dr Aazani Mujahid berkata adaptasi teknologi pertanian turut diperlukan bagi membantu petani menghadapi cabaran itu.

“Ada banyak inisiatif dengan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) menawarkan geran untuk Internet of Things (IoT) dan Smart Farming.

“Kita juga kena tanya petani apa teknologi yang sesuai. Contohnya penggunaan kit ‘Arduino’ yang berkos RM200 sahaja, tetapi boleh dibuat sebagai sensor suhu serta sensor kadar air,” jelasnya.

Dr Aila berkata daya tahan negeri turut bergantung kepada kesedaran oleh setiap lapisan masyarakat, termasuk menanam sendiri hasil tani di rumah serta pemeliharaan sumber air.

“Kesedaran ini perlu diterjemah dalam keadaan yang mencegah kerana kita tahu kos pemulihan sekiranya berlaku sesuatu itu lebih mahal,” katanya.

Dengan tindakan kolektif dan kesiapsiagaan yang mantap, Dr Aazani berkata Sarawak berada di laluan yang betul untuk membendung impak jangka panjang El Nino demi keterjaminan makanan dan kesejahteraan rakyat. – TVS

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search