OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Gegaran gempa bumi Indonesia dirasai di Lembah Klang

Gegaran gempa bumi Indonesia dirasai di Lembah Klang

Kuala Lumpur: Penduduk di beberapa lokasi di Lembah Klang dilaporkan merasai gegaran kesan gempa bumi di Indonesia, hari ini.

Gegaran dilaporkan dirasai di Menara Maju Link B2 di Jalan Lingkaran Tengah, Bandar Tasik Selatan, di sini, sehingga menimbulkan situasi cemas apabila semua pekerja diarahkan mengosongkan bangunan.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur (PGOKL) dalam kenyataan berkata, sebuah jentera dan pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besi dikerah ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.

Menurutnya, gegaran dirasai di ibu negara susulan gempa bumi 5.7 magnitud pada jarak 55 kilometer (km) barat daya Langsa di Indonesia seperti dimaklumkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

"Setibanya pasukan bomba di lokasi didapati hampir semua penghuni bangunan sudah keluar dan berkumpul di kawasan selamat sebagai langkah berjaga-jaga," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemanggil melaporkan merasai gegaran pada bangunan terbabit kira-kira 15 saat sebelum bertindak berkumpul di kawasan selamat.

Katanya, pasukan bomba seterusnya menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap struktur bangunan dan mendapati tiada sebarang rekahan atau kerosakan struktur dikesan.

PGOKL berkata, bangunan terbabit disahkan berada dalam keadaan baik dan selamat untuk diduduki semula seterusnya operasi ditamatkan pada jam 1.06 tengah hari.

Sementara itu Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Ashbar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung gegaran di Subang Jaya dan Kajang.

Katanya, pihaknya menerima laporan pada jam 12.35 dan 12.43 tengah hari membabitkan sebuah universiti swasta di Subang Jaya serta di Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

"Anggota membuat pemeriksaan keseluruhan bangunan bagi memastikan tiada rekahan bangunan dan untuk memastikan bangunan dalam keadaan selamat untuk diduduki.

"Kedua-dua bangunan dilaporkan selamat diduduki semula dan tiada rekahan atau keretakan ditemui buat masa ini," katanya.

Terdahulu media melaporkan gegaran gempa bumi sederhana bermagnitud 5.7 yang berlaku di Utara Sumatera, Indonesia pada jam 12.18 tengah hari dirasai beberapa kawasan di pantai barat Semenanjung.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search