OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

116 pelajar SMA Tarbiah Diniah terlibat kebakaran terima RM500 seorang

116 pelajar SMA Tarbiah Diniah terlibat kebakaran terima RM500 seorang

KULIM: Seramai 116 pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Tarbiah Diniah yang terjejas akibat kebakaran asrama, semalam menerima bantuan tunai segera sebanyak RM500 seorang bagi meringankan beban mereka.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bantuan disalurkan selepas bancian dijalankan bersama pihak sekolah yang mengesahkan jumlah pelajar terkesan.

Menurut beliau, sebahagian pelajar yang ditemui memaklumkan mereka kehilangan hampir semua barangan peribadi dan kelengkapan persekolahan dalam kejadian itu.

“Sebahagian mereka yang saya temui memaklumkan hanya tinggal sehelai sepinggang. Jadi bantuan RM500 ini diharap dapat membantu mereka mendapatkan semula keperluan persekolahan dan pembelajaran,” katanya selepas melawat sekolah itu hari ini.

Saifuddin berkata, beliau turut memohon peruntukan segera sebanyak RM200,000 bagi membina bangunan sementara untuk menempatkan pelajar yang terjejas dengan permohonan telah dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Peruntukan ini penting bagi membolehkan pembinaan penempatan sementara dilaksanakan segera sementara menunggu perancangan pembinaan asrama baharu,” katanya.

Selain itu, beliau turut mengumumkan sumbangan RM10,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan bagi membantu pengurusan keperluan segera pelajar.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pihaknya turut dimaklumkan bahawa sebahagian pelajar kehilangan dokumen pengenalan diri termasuk kad pengenalan yang musnah dalam kebakaran.

Sehubungan itu, beliau akan mengarahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menghantar van bergerak Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) ke sekolah berkenaan bagi memudahkan urusan penggantian dokumen.

“Pelajar tidak perlu ke pejabat JPN. Van bergerak akan datang ke sekolah dan proses penggantian MyKad boleh disiapkan dalam tempoh 15 hingga 20 minit. Saya juga meminta supaya penggantian dokumen itu dibuat secara percuma kepada pelajar yang terjejas,” katanya.

Dalam perkembangan lain, mengulas isu keselamatan di sekolah termasuk kes buli, Saifuddin berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memainkan peranan menerusi Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) yang ditempatkan di sekolah-sekolah seluruh negara.

Menurut beliau, pegawai berkenaan berfungsi sebagai penghubung antara pihak sekolah, ibu bapa dan pelajar selain membantu memantau aspek keselamatan di sekolah.

“Tujuannya adalah memastikan sekolah menjadi tempat yang selamat untuk anak-anak dan ibu bapa tidak perlu bimbang terhadap sebarang insiden yang boleh mengancam keselamatan pelajar,” katanya. – UTUSAN

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search