Struktur bangunan tak stabil, bomba tangguh masuk kawasan kedai runtuh
- Admin UKK
- Berita
MELAKA: Keadaan struktur bangunan yang masih tidak stabil memaksa bomba mengambil langkah berhati-hati sebelum memasuki kawasan runtuhan rumah kedai dua tingkat di Taman Kota Laksamana di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah Jalan Kubu, K Karuppannan berkata pihaknya masih menunggu pengesahan pemilik bangunan bagi memastikan sama ada terdapat pekerja terperangkap dalam kejadian berkenaan.
"Kita masih belum menerima maklumat lengkap sama ada terdapat mangsa yang terperangkap atau sebaliknya.
"Pemilik memaklumkan semua pekerja telah keluar, tetapi kita perlu mendapatkan pengesahan daripada pekerja yang berada di lokasi ketika kejadian," katanya.
Jelasnya, sebelum kejadian, pemilik memaklumkan terdapat empat pekerja menjalankan kerja ubah suai di premis berkenaan.
Ketika kejadian, pemilik bangunan berada di Kuala Lumpur dan pihaknya perlu menunggu kehadiran pekerja terbabit untuk mengesahkan semua individu selamat.
"Selepas pengesahan dibuat, pihak bomba bersama polis akan menjalankan siasatan lanjut berdasarkan maklumat diperoleh.
"Sekiranya disahkan tiada mangsa terperangkap, operasi SAR tidak akan diteruskan.
"Kerja pembersihan akan diserahkan kepada pemilik bangunan serta pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), " katanya.
Karuppannan berkata, pihaknya tidak menolak risiko runtuhan susulan kerana bahagian hadapan dan belakang bangunan sudah runtuh selain terdapat bunyi struktur yang masih tidak stabil.
Katanya, faktor keselamatan anggota menjadi keutamaan kerana keadaan struktur bangunan masih berisiko mengalami runtuhan susulan.
"Kita tidak mahu mempertaruhkan keselamatan anggota.
"Buat masa ini, kita menunggu pengesahan daripada pemilik dan pekerja sebelum sebarang tindakan lanjut diambil," katanya.
Β
