OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Sampai bila bandar 'lumpuh' setiap kali hujan lebat?

Sampai bila bandar 'lumpuh' setiap kali hujan lebat?

Hujan lebat berserta angin kencang melanda negara ini, termasuk Lembah Klang bukan lagi ganjil dalam era perubahan iklim. Malang memang tidak berbau, tetapi apabila cuaca ekstrem semakin kerap diramal dan berulang, kita perlu mempersoal sejauh mana tindakan kita selama ini. Kejadian banjir kilat di sekurang-kurangnya lapan lokasi sekitar Petaling Jaya, termasuk Medan Selera 223 dinaiki air buat kali ketiga sejak April, menunjukkan ia bukan kejutan terpencil. Tambah malang, kejadian pokok tumbang mengorbankan pengguna jalan raya mengingatkan kegagalan mengurus risiko cuaca boleh dibayar dengan nyawa.

Setiap kali hujan luar biasa, kita mendengar 'penjelasan' yang sudah klise: taburan terlalu tinggi, sungai mencapai kapasiti maksimum, berlaku aliran balik atau sistem perparitan tidak mampu menampung air. Tidak ada sesiapa pun menafikan penjelasan teknikal, tetapi jika punca sama berulang di lokasi sama, persoalannya bukan lagi mengapa banjir berlaku, sebaliknya apakah tindakan pemulihan dan pembetulan benar-benar dilaksanakan. Begitu juga pokok teduhan di bandar yang penting untuk mengurangkan haba, menyerap air dan mengindahkan persekitaran, tetapi ia boleh menjadi ancaman jika akar rosak akibat pembangunan, batang berpenyakit, kanopi tidak seimbang atau pemeriksaan hanya dibuat selepas aduan dan tragedi.

Hakikatnya, bandar kalis cuaca tidak dibina melalui operasi mengepam air, mengalihkan kenderaan dan memotong pokok selepas kejadian semata-mata, sebaliknya memerlukan pemetaan titik panas banjir, kolam takungan mencukupi, penjagaan sungai serta penyelenggaraan parit dan longkang, manakala permukaan telap air diperluas dan setiap projek pembangunan dinilai berdasarkan kesannya terhadap keseluruhan lembangan.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk majlis bandaraya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), pemaju serta syarikat utiliti pula tidak boleh bekerja dalam kepompong masing-masing. Sejauh mana data hujan masa nyata, paras sungai, kapasiti saliran, aduan awam, usia pokok dan rekod pemangkasan disepadukan dalam satu pusat kawalan yang mampu mengeluarkan amaran serta menggerakkan tindakan sebelum keadaan menjadi kecemasan.

Dalam insiden pokok tumbang, sejauh manakah audit pokok dilaksana secara berkala menggunakan khidmat arboris bertauliah, bukannya bergantung pada penilaian sepintas lalu. Pokok berisiko tinggi berhampiran jalan sibuk, sekolah, hospital, perhentian bas dan kawasan kediaman perlu diberi keutamaan, sementara penebangan hanya menjadi pilihan terakhir selepas kaedah rawatan, pengukuhan atau pemangkasan profesional dipertimbangkan. Pada masa sama, penyelesaian banjir kilat tidak boleh sekadar memperbesar parit di satu lokasi hingga memindahkan masalah ke kawasan hilir. Kerajaan negeri dan PBT perlu menerbitkan pelan adaptasi iklim berasaskan lembangan, lengkap dengan sasaran, peruntukan, garis masa dan pihak bertanggungjawab supaya rakyat dapat menilai kemajuannya.

Kita memang tidak menuntut pihak berkuasa menghalang hujan atau menundukkan angin kerana fenomena alam tidak boleh dikawal sepenuhnya. Namun, risiko boleh dikurangkan melalui perancangan bandar lebih disiplin, penyelenggaraan, penguatkuasaan syarat pembangunan dan pelaburan berterusan dalam infrastruktur biru-hijau, bukannya menunggu bencana sebelum peruntukan kecemasan dicari.

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search