Kerajaan Thailand mohon bantuan Jepun laksana 4 projek pengurusan air
- Admin UKK
- Berita
BANGKOK: Thailand memohon sokongan Jepun bagi melaksanakan empat projek pengurusan air berskala besar, dengan Tokyo menunjukkan minat khusus terhadap inisiatif tebatan banjir di lembangan Sungai Chao Phraya dan Hat Yai.
Timbalan Perdana Menteri, Songsak Thongsri, mendedahkan perkara itu selepas mengadakan rundingan bersama Duta Besar Jepun ke Thailand, Masato Otaka di Rumah Kerajaan, pada Rabu.
Beliau menegaskan isu pengurusan air dan pencegahan banjir menjadi agenda utama dalam perbincangan berkenaan.
Menurut Songsak, kerajaan Jepun serta Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) sudah lama memberi keutamaan kepada aspek pengurusan air dan sentiasa menjadi rakan rapat dalam membantu Thailand memperkukuh keupayaan tebatan banjir negara itu.
Jepun sebelum ini pernah menyediakan bantuan teknikal dan khidmat nasihat susulan bencana banjir besar yang melanda Thailand pada 2011, selain menyalurkan sokongan serupa selepas kejadian banjir di Hat Yai pada tahun lalu.
Kedua-dua pihak bersetuju mengenai keperluan pendekatan yang lebih sistematik bagi menangani cabaran berkaitan air. Sehubungan itu, Thailand mengemukakan empat projek kerjasama teknikal kepada JICA untuk dipertimbangkan.
Projek terbabit merangkumi sistem sokongan keputusan bagi sub-lembangan U-Tapao, pembangunan sistem zon air dan pengurusan dataran banjir untuk lembangan Chao Phraya, projek penggunaan teknologi canggih bagi menilai pengumpulan enapan di muara Sungai Chao Phraya, serta platform penyertaan awam bagi pengurusan air. - AGENSI
