OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Tingkat pemantauan saintifik antara tiga langkah utama jaga Tasik Bera

Tingkat pemantauan saintifik antara tiga langkah utama jaga Tasik Bera

BERA: Tiga langkah utama perlu segera dilaksanakan pihak berwajib demi kelestarian Tasik Bera, Tapak Lembap Berkepen­tingan Antarabangsa (Ramsar) pertama Malaysia yang menjadi khazanah ekologi negara.

Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM), Profesor Dr. Ahmad Ismail berkata, usaha itu penting bagi memastikan Tasik Bera terus terpulihara daripada ancaman pembangunan dan pencemaran.

Beliau berkata, langkah pertama adalah meningkatkan pemantauan saintifik dengan melibatkan universiti tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Data ekologi dan biodiversiti perlu dikemas kini secara berterusan agar sebarang ancaman dapat dikenal pasti lebih awal.

“Langkah kedua pula adalah melaksanakan Program Komunikasi Pendidikan dan Kese­daran Awam (CEPA) bermodul untuk komuniti sekitar Tasik Be­ra. Program ini harus melibatkan NGO bagi memperkukuh kefahaman masyarakat tentang kepentingan tapak Ramsar dan tanggungjawab bersama dalam menjaga alam sekitar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, Ahmad menekankan perlunya meningkatkan pemantauan komuniti dengan me­libatkan penduduk tempatan.

“Kerjasama masyarakat setempat bersama pihak berkuasa akan menjadikan usaha penguat­kuasaan lebih berkesan,” katanya.

Menurutnya, PEM turut mencadangkan bilangan pegawai pe­nguat kuasa ditambah khususnya dari Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) bagi memperkukuh kawalan di kawasan Tasik Bera.

“Ketiga-tiga langkah ini bukan sahaja penting untuk melindungi Tasik Bera daripada ancaman, malah menjadi asas kepada kesinambungan ekosis­tem yang memberi manfaat kepada generasi akan datang,” katanya.

Tasik Bera yang diiktiraf sebagai tapak Ramsar sejak 1994 adalah habitat penting pelbagai spesies flora dan fauna, sekali gus menjadikannya simbol wari­san alam semula jadi negara yang wajar dipelihara.

Bermula 1 Februari lalu, setelah kira-kira 10 tahun ditutup kepada orang ramai, Tasik Bera, tasik air tawar semula jadi terbesar negara dibuka semula kepada umum sempena sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia 2026. – UTUSAN

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search