Gempa bumi Mindanao: Amaran tsunami tamat, penduduk Sabah diarah kekal berwaspada
- Admin UKK
- Berita
KUCHING, 8 Jun: Penduduk di kawasan pantai timur Sabah khususnya di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu diminta supaya kekal tenang serta mematuhi arahan pihak berkuasa susulan gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 yang berlaku di Mindanao, Filipina pada pagi Isnin.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, gempa yang berlaku pada jam 7.37 pagi itu turut menyebabkan gegaran dirasai di beberapa kawasan di Sabah.
Beliau memaklumkan, berdasarkan analisis semasa Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), tsunami setinggi 0.4 meter dijangka melanda kawasan pantai di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu antara jam 10.30 pagi hingga 12 tengah hari.
Sehubungan itu, siren nasihat tsunami telah dibunyikan di keempat-empat lokasi berkenaan sebagai langkah kesiapsiagaan dan amaran awal kepada penduduk.
Justeru, menurutnya, masyarakat khususnya penduduk di kawasan terlibat tidak perlu panik kerana kerajaan melalui MET Malaysia serta agensi keselamatan sedang memantau situasi tersebut secara rapi.
“Saya ingin memberikan penekanan serius kepada seluruh masyarakat, khususnya penduduk di kawasan pantai sekitar Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu agar kekal tenang dan jangan panik,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau turut menggesa penduduk supaya memberikan kerjasama penuh dengan mematuhi segala arahan evakuasi atau langkah keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.
Pada masa sama, orang ramai turut dinasihatkan supaya menjauhi kawasan pantai dalam tempoh yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang risiko kepada keselamatan diri dan keluarga.
Menurut beliau, MET Malaysia akan terus memantau perkembangan aktiviti gempa susulan serta risiko tsunami dan akan menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa.
Selain itu, orang awam juga diingatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan kegusaran awam, sebaliknya mendapatkan maklumat rasmi menerusi laman web MET Malaysia, aplikasi myCuaca dan saluran media sosial rasmi agensi berkenaan. – TVS
