Amaran ribut, hujan lebat di sembilan negeri
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di sembilan negeri hingga jam 9 pagi ini.
MetMalaysia dalam kenyataan hari ini, memaklumkan amaran cuaca itu membabitkan Kedah (Langkawi, Kota Setar, Yan, Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu), seluruh Pulau Pinang dan Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak).
Amaran itu turut membabitkan Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu) dan Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang).
Keadaan sama juga diramal melanda Negeri Sembilan (Port Dickson dan Rembau), seluruh Melaka, Johor (Batu Pahat) dan Sabah (Tawau) dan Kudat (Kudat).
MetMalaysia memaklumkan, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi tempoh satu jam.
"Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran," katanya.
