Kelewatan 4 projek rancangan tebatan banjir Kedah kerana isu dalaman kontraktor
- Admin UKK
- Berita
ALOR SETAR: Kelewatan pembinaan empat projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Kedah dikenal pasti berpunca daripada masalah dan isu dalaman kontraktor yang dilantik.
EXCO Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar negeri, Datuk Mohamad Yusoff@Munir Zakaria, berkata kerajaan negeri bagaimanapun tetap komited memastikan semua projek terbabit dapat disiapkan mengikut jadual baharu selepas lanjutan masa (EOT) diluluskan.
Katanya, empat projek terbabit ialah RTB Bandar Jitra Selatan, RTB Sungai Kedah/ Anak Bukit (Lencongan Sungai Baru), RTB Sungai Pendang (Pakej 1) dan RTB Sungai Pendang (Pakej 2).
"Kerajaan negeri memberi komitmen penuh menjayakan semua RTB bukan sahaja di Sungai Kedah, tetapi juga mempercepatkan proses pengambilan tanah, pemindahan utiliti dan penguatkuasaan rizab sungai di RTB berkenaan.
"Terdapat isu tertentu serta kekangan berpunca kelemahan pengurusan dalaman kontraktor dilantik itu yang menyebabkan beberapa projek lewat di samping beberapa EOT dan ada (kontraktor) yang ditamatkan (kontrak)," katanya.
Beliau menjawab soalan lisan Dr Mohd Suffian Yusoff (PN-Bandar Baharu) mengenai status empat projek RTB di Kedah pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Yusoff berkata tindakan penamatan kontrak hanya akan diambil sekiranya kontraktor gagal menunjukkan prestasi memuaskan atau menghadapi masalah kewangan seperti muflis.
"Apabila ada EOT, memang kontraktor tidak akan dikenakan denda dan tidak akan ditamatkan kontraknya. Jadi saya percaya, kerajaan negeri terus komited dan ia dibuktikan memang kita boleh buat dalam jadual yang ditetapkan menjauhi jadual.
"Cuma apabila ada kontraktor yang terpaksa ditamatkan kerana tidak boleh laksana ataupun kerana muflis seperti yang disebut tadi, kita tak boleh bertindak di luar kuasa kita," katanya.
Beliau berkata, meskipun projek mengalami kelewatan, RTB terbabit dijangka dapat disiapkan mengikut jadual daripada EOT baharu yang diluluskan kepada kontraktor.
Sebagai contoh katanya, RTB Bandar Jitra Selatan dijangka siap Mac lalu, namun mengalami sedikit kelewatan kerana masalah pemindahan utiliti.
"Sementara RTB Sungai Kedah/ Anak Bukit (Lencongan Sungai Baru) dijangka siap 14 Jun dengan kemajuan 92 peratus.
"Sungai Pendang (Pakej 1) yang dijangka siap pada 5 Ogos depan dengan kemajuan sebenarnya 66.73 peratus dan Sungai Pendang (Pakej 2), pada Disember 2026 dengan kemajuan 74 peratus," katanya.
