OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Malaysia, Brunei bakal laksana latihan pengurusan bencana bersama

Malaysia, Brunei bakal laksana latihan pengurusan bencana bersama

PETALING JAYA: Malaysia dan Brunei bakal melaksana latihan bersama dalam pengurusan bencana selain memperkasa komitmen antara kedua-dua negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau menerima kunjungan dari Menteri Hal Ehwal Dalam Negara Brunei, Dato Seri Awang Ahmaddin Abdul Rahman di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, perjumpaan itu menjadi kesempatan untuk berkongsikan mengenai Majlis Pengurusan Bencana Negara iaitu platform tertinggi bagi memperkukuh tadbir urus dan penyelarasan pengurusan bencana secara lebih menyeluruh.

Selain itu, katanya, beliau turut memperkenalkan Bulan Kesiapsiagaan Nasional sebagai gerakan berterusan untuk menyemai budaya siaga dalam kalangan rakyat di semua peringkat dalam mendepani sebarang risiko serta cabaran bencana.

“Pertemuan ini memfokuskan kepada usaha memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang pengurusan bencana meliputi perkongsian kepakaran, pembangunan kapasiti dan latihan bersama. 

“Kunjungan ini juga memberi peluang kepada delegasi Brunei meninjau kemudahan di Pusat Simulasi Bencana di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bagi meneroka peluang penganjuran latihan bersama di fasiliti tersebut pada masa hadapan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid berkata, kerjasama strategik antara Malaysia dan Brunei itu akan dilaksanakan di bawah memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam Pengurusan Bencana yang telah ditandatangani pada 5 April 2021 sewaktu Konsultasi Tahunan ke-23 di Bandar Seri Begawan.

Beliau berkata, Malaysia amat menghargai peranan mesyuarat dua hala antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) Brunei sebagai platform strategik yang  berjaya menyelaraskan pelbagai aktiviti kerjasama sejak tahun 2022.

Katanya, Malaysia melalui Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) komited untuk memberikan sokongan penuh kepada Brunei bagi mendapatkan pengiktirafan antarabangsa INSARAG External Classification (IEC).

Jelasnya, pasukan SMART sebagai mentor akan berkongsi kepakaran dan bimbingan teknikal serta penilaian keupayaan Urban Search and Rescue (USAR) bagi pasukan penyelamat Brunei. 

“Kami juga bersetuju untuk menekankan kepentingan pelaksanaan latihan sepadu pengurusan bencana rentas sempadan secara berkala memandangkan Malaysia dan Brunei berkongsi sempadan darat yang panjang. 

“Usaha membangunkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pengurusan bencana rentas sempadan sedang giat dijalankan bagi memastikan tindak balas yang terselaras, pantas, dan berkesan sekiranya berlaku bencana di kawasan sempadan,” katanya.

Tambahnya, cadangan untuk menghidupkan semula latihan Search and Rescue Exercise (SAREX) yang melibatkan pelbagai tema operasi penyelamatan turut disambut baik  demi memperkukuh keupayaan agensi tindak balas kedua-dua pihak.-UTUSAN

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search