Air 3 empangan di Kedah susut: Operasi pembenihan awan diteruskan
- Admin UKK
- Berita
ALOR SETAR: OperasiΒ pembenihan awanΒ di tiga empangan utama di Kedah, iaitu Empangan Pedu, Empangan Muda dan Empangan Ahning diteruskan hari ini bagi meningkatkan paras air yang semakin menyusut akibat cuaca panas berpanjangan.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr Ismail Salleh, berkata operasi itu dilaksanakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).
Katanya, operasi hari pertama semalam bermula di Pangkalan TUDM Subang dengan penyediaan campuran garam dilarutkan dalam empat tangki berkapasiti 1,500 liter setiap satu sebelum dimuatkan ke dalam pesawat C-130 Hercules.
"Bahan berkenaan kemudian dilepaskan di kawasan sasaran, iaitu Empangan Pedu, Empangan Muda dan Empangan Ahning serta Empangan Timah Tasoh di Perlis. Bahan dari tiga tangki dilepaskan di empangan di Kedah, manakala satu lagi di Empangan Timah Tasoh," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Hasil operasi hari pertama menunjukkan hujan direkodkan di beberapa kawasan dengan Empangan Muda menerima taburan sebanyak 45.2 milimeter, Empangan Ahning (3.7mm) dan Empangan Pedu (1mm).
"OPA sudah dibuat semalam dan hari ini akan dibuat lagi, kita harap usaha ini akan membuahkan hasil dan akan ada hujan seperti semalam," katanya turut memaklumkan musim tanaman padi 1/2026 dijadual bermula 15 April ini dan kaedah tabur terus kering dilihat lebih sesuai dengan keadaan semasa.
Sementara itu, maklumat di portal Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) semalam menunjukkan Empangan Muda satu-satunya merekodkan paras kritikal. Bacaan semalam menunjukkan empangan itu mencatatkan 9.61 peratus simpanan air berbanding 10.03 peratus sehari sebelumnya.
