OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

KEMAS KINI: Gempa kuat 7.4 magnitud di Maluku Utara rosakkan bangunan, seorang maut

KEMAS KINI: Gempa kuat 7.4 magnitud di Maluku Utara rosakkan bangunan, seorang maut

JAKARTA: Gempa bumi 7.4 magnitud melanda Laut Maluku Utara di luar pesisir Pulau Ternate, Indonesia pagi ini mengakibatkan beberapa bangunan rosak serta mencetuskan ombak tsunami, menurut pihak berkuasa dan saksi.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan, gempa susulan bermagnitud sehingga 5, manakala agensi meteorologi Indonesia, BMKG, melaporkan ombak tsunami setinggi 0.3 meter di Halmahera Barat dan 0.2 meter di Bitung.

Stesen penyiaran Indonesia, Metro TV, melaporkan seorang individu maut akibat ditimpa runtuhan di kawasan Manado, dan rakaman video menunjukkan beberapa bangunan mengalami kerosakan.

Seorang penduduk Manado memberitahu Reuters, orang ramai berlari keluar dari rumah dalam keadaan panik. Tiada kerosakan jelas di kawasan kejiranannya, namun beberapa barang jatuh dari rak dan bekalan elektrik terputus.

Indonesia terletak di kawasan "Lingkaran Api Pasifik" (Pacific Ring of Fire), iaitu zon yang sangat aktif dari segi seismik di mana beberapa plat kerak bumi bertemu, menyebabkan berlakunya banyak gempa bumi dan gunung berapi.

Kerajaan wilayah di beberapa bandar seperti Ternate dan Tidore, yang terkenal sebagai Kepulauan Rempah (Spice Islands), telah diminta bersiap sedia untuk memindahkan penduduk.

Pihak berkuasa amaran tsunami Amerika Syarikat berkata, tsunami berbahaya berkemungkinan berlaku di sepanjang pantai Indonesia, Filipina dan Malaysia dalam lingkungan 1,000 kilometer (620 batu) dari pusat gempa.

Pusat gempa dianggarkan kira-kira 580 kilometer di selatan pantai Filipina dan 1,000 kilometer dari Sabah, Malaysia.

Agensi seismologi Filipina, Phivolcs, berkata berdasarkan data terkini, tiada ancaman tsunami yang merosakkan terhadap negara itu.

Jabatan Meteorologi Malaysia pula dalam satu hantaran Facebook menyebut, tiada ancaman tsunami terhadap Malaysia setakat ini, dan pihaknya sedang memantau perkembangan.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik (PTWC) memaklumkan ombak setinggi 0.3 hingga 1 meter melebihi paras air pasang boleh melanda beberapa kawasan pantai Indonesia.

PTWC turut memberi amaran risiko ombak kurang daripada 0.3 meter melebihi paras air pasang bagi kawasan pantai Guam, Jepun, Malaysia, Papua New Guinea, Filipina dan Taiwan.

Jepun mungkin mengalami ombak setinggi sehingga 0.2 meter, namun tiada kerosakan dijangka, kata Agensi Meteorologi Jepun sambil memberi amaran tsunami boleh berlaku di kawasan Pasifik. - REUTERS

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search