Beg pasir, geotube elak hakisan Pantai Bisikan Bayu, Pachakan
- Admin UKK
- Berita
KOTA BHARU: Pemasangan struktur sementara beg pasir atau geotube menjadi langkah awal paling berkesan mengurangkan hakisan di Pantai Bisikan Bayu dan Pachakan, Pasir Puteh akibat Monsun Timur Laut yang sedang melanda ketika ini.
Pensyarah Fakulti Sains Bumi Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Dr. Hamzah Hussin berkata, kaedah itu berfungsi menyerap dan melemahkan hentaman gelombang, sekali gus memberi ruang kepada pantai untuk distabilkan sebelum penyelesaian jangka panjang dilaksanakan.
“Biasanya hakisan berlaku disebabkan tenaga ombak dan arus pesisir yang sentiasa mengalihkan pasir ke arah lain, menyebabkan bahagian tertentu pantai kehilangan sedimen lebih cepat. Apabila tenaga ombak tinggi atau arah arus berubah, pemindahan pasir menjadi tidak seimbang dan pantai mula terhakis.
“Kedua, ribut laut, angin kencang dan ombak bermusim seperti Monsun Timur Laut di Pantai Timur menyebabkan peningkatan tenaga gelombang. Gelombang ribut boleh mengangkut sejumlah besar pasir ke laut dalam masa singkat, lalu mencetuskan hakisan mendadak,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, semalam.
Hamzah memberitahu, kenaikan aras laut akibat perubahan iklim menyebabkan pantai lebih mudah ditenggelami air antara punca berlaku hakisan selain ketiadaan atau kerosakan struktur semula jadi seperti bukit pasir rumput pantai, pokok rhu dan terumbu karang.
Katanya, struktur semula jadi ini berfungsi sebagai benteng yang menyerap tenaga ombak dan apabila ia hilang akibat pembangunan atau aktiviti manusia, pantai menjadi lebih terdedah.
“Oleh itu, setiap cadangan kawalan hakisan pantai perlu disertai kajian kesan hidro-morfologi yang menyeluruh bagi memastikan langkah diambil benar-benar berkesan serta tidak menimbulkan kesan sampingan kepada kawasan pesisir lain.
“Bagi jangka panjang, pembinaan benteng pantai yang lebih berkesan dan lestari perlu dipertimbangkan, antaranya penggunaan detached (offshore) breakwaters yang dibina selari di luar garisan pantai untuk memecahkan tenaga gelombang sebelum sampai ke daratan,” ujarnya.
Hamzah berkata, struktur itu bukan sahaja mengurangkan hentaman ombak secara langsung, malah berpotensi menggalakkan pemendapan pasir di belakangnya sekali gus membantu memulihkan lebar pantai yang semakin mengecil. – MINGGUAN
