Projek PLSB Sungai Golok mampu atasi banjir Kelantan
- Admin UKK
- Berita
PETALING JAYA: Kerajaan laksana Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) di Sungai Golok, Kelantan bagi menyelesaikan banjir di kawasan tersebut.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, PLSB kini sedang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) secara komprehensif dan berfasa.
Menurutnya, pelaksanaan projek itu menggabungkan langkah sementara serta penyelesaian jangka panjang bagi memastikan perlindungan berterusan kepada penduduk dan alam sekitar.
Jelasnya lagi, pendekatan tersebut bertujuan menangani risiko banjir semasa musim monsun, di samping menyediakan penyelesaian struktur yang lebih mampan dalam jangka panjang bagi menghadapi impak perubahan iklim.
“Pelaksanaan jangka panjang PLSB Sungai Golok dilaksanakan secara berfasa, melibatkan tiga fasa utama.
“Analisis dan simulasi hidrologi oleh JPS mendapati bahawa pelaksanaan lengkap ketiga-tiga fasa ini berupaya mengurangkan risiko banjir sehingga tahap 50 Annual Recurrence Interval (ARI) selaras dengan piawaian perlindungan banjir yang selamat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambahnya, setelah ketiga-tiga fasa berkenaan disiapkan, PLSB Sungai Golok dijangka dapat menyediakan perlindungan banjir yang lebih menyeluruh kepada kawasan-kawasan utama termasuk Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tumpat.
Katanya, projek tersebut juga akan mengurangkan secara signifikan bilangan penduduk serta harta benda yang terdedah kepada risiko banjir.
“Sementara menunggu penyiapan keseluruhan projek jangka panjang, kementerian melalui JPS sedang melaksanakan beberapa langkah mitigasi sementara di kawasan-kawasan kritikal bagi mengurangkan impak banjir.
“Antaranya kerja pengorekan Sungai Lanchang Lemal bagi meningkatkan kapasiti sungai dan mengurangkan limpahan di kawasan rendah khususnya di Tumpat dan Pasir Mas,” jelasnya.
Tambahnya, PETRA turut menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) Danau To’ Uban bagi menyelaras kawalan aras air dan pengurusan takungan semasa kejadian hujan lebat.
“Selain itu, membuat pemasangan struktur mudah alih flood barrier wall di kawasan-kawasan berisiko tinggi dan kerja-kerja pengorekan muara Sungai Golok yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN
