OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

‘Tsunami kali ini dari darat’

‘Tsunami kali ini dari darat’

PETALING JAYA – Tragedi banjir dan tanah runtuh yang melanda tiga wilayah utama di Sumatera terutamanya Sumatera Barat pada 27 November lalu meninggalkan kesan cukup mendalam kepada penduduk.

Arus deras yang bergabung dengan runtuhan tanah bukan sahaja mencetuskan banjir besar, malah turut memusnahkan deretan rumah penduduk, merosakkan jalan raya serta menenggelamkan kampung.

Seorang sukarelawan yang berada di PD Jaya, Sumatera Barat, Indonesia, Dr. Baharudin Suri berkata, trauma tragedi itu turut mencetuskan mimpi ngeri 20 tahun lalu selepas kawasan itu dibadai tsunami.

Beliau yang juga Naib Presiden Kluster Kebajikan dan Kemanusiaan, Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan Malaysia) berkata, rata-rata penduduk menganggap musibah tersebut sebagai ‘tsunami’ kedua selepas tragedi yang berlaku sebelum ini.

“Tsunami 2004 berlaku akibat gelombang dari laut, tapi selepas 20 tahun, berlaku satu lagi ‘tsunami darat’ yang mana potongan kayu dari gunung memenuhi sungai sehingga meranapkan rumah-rumah penduduk.

“Ada kampung yang hilang akibat banjir kali ini. Rumah yang selamat pula ditelenggami lumpur setinggi siling. Sehingga kini penduduk masih berusaha membuang lumpur dari rumah,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Dr. Baharudin berkata, penduduk kini bimbang dengan gelombang kedua ekoran kea­daan hujan yang masih berterusan sehingga hari ini.

Selain itu, beliau yang tiba di PD Jaya sejak kelmarin berkata, kebanyakan penduduk masih tinggal di masjid dan pusat-pusat sementara kerana tiada bekalan elektrik dan air yang bersih.

“Infrastruktur seperti sekolah musnah sehingga ada laluan sungai terbentuk di hadapan bangunan. Bencana ini meninggalkan trauma yang dahsyat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, bantuan yang disalurkan memfokuskan kepada keperluan kecemasan seperti makanan sedia dimakan, pakaian, rawatan perubatan serta bantuan psikologi. -KOSMO! ONLINE

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search