EU salur bantuan banjir AS$2.4 juta kepada Sri Lanka, Indonesia dan Thailand
- Admin UKK
- Berita
MOSCOW: Kesatuan Eropah (EU) menyalurkan AS$2.4 juta (RM9.87 juta) sebagai bantuan kecemasan bagi mangsa banjir di Sri Lanka, Indonesia dan Thailand, menurut Suruhanjaya Eropah.
"Sebagai respons terhadap banjir dahsyat yang melanda Sri Lanka, Indonesia dan Thailand, EU telah menyalurkan AS$2.4 juta dalam bantuan kecemasan bagi kawasan yang paling terjejas. Pembiayaan ini bertujuan menyediakan bantuan penting kepada komuniti yang paling rentan," menurut kenyataan itu.
Sebanyak AS$1.74 juta (RM7.16 juta) akan menyokong usaha bantuan di Sri Lanka, termasuk AS$581,000 (RM2.39 juta) yang disalurkan melalui Tabung Kecemasan Tindak Balas Bencana Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah, menurut kenyataan itu.
Tambahan AS$697,000 (RM2.86 juta) akan membantu rakan kemanusiaan di Indonesia dan Thailand, diagihkan sama rata antara kedua-dua negara, kata suruhanjaya itu.
Banjir teruk di seluruh Asia Selatan dan Asia Tenggara pada November dan bulan ini menyebabkan perpindahan besar-besaran serta kerosakan infrastruktur yang meluas, sekali gus membebankan ekonomi negara dan sistem tindak balas bencana. Angka korban meningkat kepada 950 di Indonesia, melebihi 600 di Sri Lanka dan sekurang-kurangnya 276 di Thailand.
