Surau bakal roboh akibat ombak besar
- Admin UKK
- Berita
KUALA NERUS: Fenomena ombak besar yang berlaku sejak beberapa malam lalu menyebabkan penduduk yang tinggal berhampiran pantai di Kampung Pengkalan Maras, di sini, dalam kebimbangan apabila hakisan semakin teruk di kawasan itu.
Penduduk, Zulkefli Abd Ghani, 62, berkata ombak besar sejak beberapa hari lalu mengakibatkan Surau Pantai Pengkalan Maras hampir roboh.
"Selain surau, rumah bersebelahannya juga berdepan ancaman sama dan beberapa batang pokok kelapa juga mula tumbang selepas ombak menghempas pantai susulan air pasang besar.
"Ombak mencecah hingga tiga meter dan meluncur hingga di hadapan surau yang selain menghakis tebing mengakibatkan struktur surau tidak kukuh," katanya.
Peniaga Pasar Nelayan Pengkalan Maras, Mohd Dzulfaizi Mazlan, 41, berkata sejak sembilan tahun berniaga di situ, dia menyaksikan sendiri bagaimana kawasan belakang pasar semakin hilang sedikit demi sedikit.
"Dulu jarak antara belakang pasar dan pantai jauh, kira-kira satu kilometer, malah ada jalan berturap dan ramai penjaja yang berniaga di kawasan ini sebelum berlakunya hakisan.
"Saban tahun dianggarkan berlaku kira-kira 30 meter hakisan dan paling ketara sejak tiga empat tahun kebelakangan ini apabila ombak dilihat lebih 'agresif' hingga memusnahkan kediaman dan kedai penduduk," katanya.
Katanya, hakisan pantai menyebabkan kedainya kini berada beberapa meter dari laut dan tidak mustahil jika tidak ditangani dengan baik mungkin kedainya akan lenyap.
"Ada yang hilang rumah, hilang kedai dan sebagainya lagi.. oleh itu satu pendekatan drastik perlu diambil dalam memastikan penduduk tidak terus terhimpit dengan permasalahan ini," katanya.
Peniaga kedai makan, Nor Fazilah Mustafa, 38, berkata, tahun lalu kedai ayahnya Mustafa Sulaiman, 60, rosak akibat hakisan dan terpaksa meninggalkan perniagaan gerai makan di pantai itu.
"Namun, kini giliran saya pula berdepan hakisan kerana kedudukan kedai saya hanya beberapa puluh meter di belakang kedai ayah yang sudah rosak akibat hakisan sebelum ini.
Katanya, ayahnya sebelum ini berniaga kedai makan namun terpaksa beralih kepada perniagaan sejuk beku selain terpaksa menyewa di tempat lain dengan harga sewa yang agak tinggi.
