OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Aset, kemudahan PDRM di Sarawak perlu ditambah

Aset, kemudahan PDRM di Sarawak perlu ditambah

BETONG, 8 Dis: Aset dan kemudahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sarawak perlu ditambah memandangkan wilayah ini sangat luas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, penambahan aset merupakan keperluan mendesak bagi memperkukuhkan operasi di 28 daerah polis di Sarawak khususnya melibatkan kenderaan peronda, peralatan operasi serta penyelenggaraan balai dan bangunan lama yang masih beroperasi.

Menurutnya, walaupun Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak sentiasa memberikan sokongan, kontinjen itu masih memerlukan lebih banyak kemudahan untuk memastikan tugas kepolisan di lapangan dapat dijalankan dengan lebih cekap dan berkesan.

“Keluasan geografi yang besar dan cabaran bentuk muka bumi di pedalaman menuntut PDRM Sarawak perlu memiliki aset mencukupi bagi memastikan kesiapsiagaan dan kehadiran polis dapat dipertingkat di kawasan kritikal,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pemakaian Pangkat serta Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Betong dan Pengerusi PERKEP IPD Betong di Dewan Serbaguna IPD Betong, di sini hari ini.

Zainal berkata, sejak dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak, pihaknya giat menjalankan tinjauan ke setiap daerah bagi menyelaras semula keutamaan permohonan termasuk aset baharu, peralatan operasi dan fasiliti yang perlu dinaik taraf segera.

Mengulas mengenai perancangan di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), beliau berkata, beberapa projek pembangunan baharu termasuk IPD dan balai dijangka dimulakan seawal tahun depan, dengan tumpuan diberikan kepada kawasan yang sering dilanda banjir serta balai yang uzur.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sarawak dan Kerajaan Persekutuan yang baru-baru ini menyalurkan peruntukan bagi kerja mengecat, membaik pulih dan menaik taraf bangunan PDRM yang lama di seluruh wilayah ini.

“Penambahan aset dan peningkatan fasiliti ini akan membantu PDRM Sarawak meningkatkan tahap keberkesanan operasi, seterusnya memastikan keselamatan masyarakat dapat dipertahankan dengan lebih baik,” ujarnya.

Pada majlis sama, Zainal turut menyampaikan Sumbangan Kasih PDRM kepada 15 penerima dari sekitar Daerah Betong sebagai sebahagian usaha kebajikan berterusan PDRM kepada masyarakat setempat.-TVS

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search