Pam air efektif selesai masalah 'banjir termenung'
- Admin UKK
- Berita
IPOH: Penggunaan pam air Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dilihat secara efektif berupaya menyelesaikan masalah banjir genang atau banjir termenung yang masih melanda di beberapa tempat di Perak.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, keberkesanan penggunaan pam itu bagaimanapun bergantung kepada paras air sungai bagi air banjir yang dialurkan.
"Semalam saya tengok Yang Berhormat Azman Noh (Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Baharu) tunjukkan bagaimana JPS menyedut air daripada kawasan banjir keluar. Keberkesanannya bergantung pula kepada sungai yang kita masukkan air itu.
"Kalau air sungai itu pun tinggi maka tak ada maknalah. Tetapi sekarang nampak yang (kaedah) itu efektif, ia sedut air daripada kawasan banjir keluar ke sungai sebelum mengalir ke laut," katanya.
Saarani berkata demikian pada sidang media Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan (HBP) Siri 8 Tahun 2025 di Stadium Indera Mulia, di sini hari ini. Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Sebanyak 185 aduan diterima sepanjang program berkenaan.
Saarani berkata, kerajaan negeri sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi gelombang kedua banjir akibat Monsun Timur Laut (MTL) ketika ini, termasuk menerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri (SDCC) yang diaktifkan bermula November lalu.
Katanya, SDCC yang beroperasi di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak membolehkan agensi yang menguruskan bencana di peringkat daerah berhubung terus secara masa nyata dengan pusat kawalan bagi penyelarasan agihan bantuan serta operasi menyelamat mangsa dikoordinasikan.
Sementara itu, Ahmad Suaidi berkata, SDCC yang diaktifkan sewaktu gelombang pertama banjir November lalu efektif memantau dan menyelaraskan pergerakan aset bagi operasi menyelamat membabitkan pelbagai agensi.
"Kekangan sebelum ini, aset ada di daerah lain tetapi berlaku (banjir) di daerah lain. Jadi paling penting adalah melihat bagaimana untuk koordinasikan ia dengan pemantauan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan pasukan daripada SUK.
"Alhamdulillah untuk banjir baru-baru ini kita berjaya menggerakkan pasukan daripada Angkata Tentera Malaysia (ATM) dan pasukan daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk membantu," katanya.
Ahmad Suaidi berkata, SDCC Perak membabitkan koordinasi sumber manusia seramai 5,676 anggota, aset serta logistik dengan 374 pikap; 97 ambulans; 251 lori; 251 bot; 1,491 jaket keselamatan dan 4,418 khemah.
Sehingga petang ini, seramai 487 mangsa daripada 140 keluarga masih berlindung di enam pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh Perak susulan banjir yang melanda tiga daerah iaitu Manjung, Hilir Perak, dan Bagan Datuk.
