Banjir: Penduduk mahu pusat pemindahan kekal
- Admin UKK
- Berita
TEMERLOH: Penduduk Kampung Batu Kapor, Mentakab memohon kerajaan mempertimbang pembinaan Pusat Pemindahan Bencana Kekal (PPBK) bagi menampung penempatan penduduk yang terpaksa berpindah saban tahun akibat banjir.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Batu Kapor, Mohd. Marizi Sohaimi berkata, setiap kali musim tengkujuh, penduduk di situ seolah-olah sudah ‘wajib’ berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) seperti di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan atau Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Kapor.
Katanya, dua PPS itu sudah menjadi seperti rumah kedua bagi sebahagian besar penduduk sejak puluhan tahun lalu kerana hanya di situlah lokasi yang benar-benar bebas banjir dan selamat didiami ketika air Sungai Semantan melimpah.
“Banjir bukan perkara baharu bagi kami. Setiap kali monsun, hati jadi berdebar. Sebab itulah kami berharap sangat sebuah PPBK yang lebih tersusun, selesa dan lengkap dibina di kawasan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Mohd. Marizi, JPKK Batu Kapor sudah bersedia menghadapi kemungkinan banjir hasil mesyuarat khas bulan lalu yang membabitkan pelbagai agensi berkaitan.
“Lebih 300 ketua keluarga sudah diminta peka dengan laporan cuaca dan maklumat rasmi kerajaan, selain memberi kerjasama sekiranya diarahkan berpindah pada bila-bila masa.
“Selain itu, beberapa kumpulan WhatsApp turut ditubuhkan bagi memudahkan laporan berkaitan perkembangan paras air, keadaan jalan dan keperluan penduduk disalurkan dengan pantas kepada pihak berkuasa,” ujarnya.
Menurutnya, selain pembinaan PPBK, penduduk juga berharap kerajaan mempercepat pelaksanaan projek tebatan banjir di sepanjang Sungai Semantan bagi mengurangkan impak limpahan air sungai.
“Bagi penduduk di sini, kesan dan kepayahan yang ditanggung ketika banjir besar pada Disember 2021 dan 2022 serta banjir pada Oktober tahun lalu masih berbekas dan belum pulih sepenuhnya, terutama daripada segi emosi dan kerugian harta benda,” jelasnya.-UTUSAN.
