'Keluarga' X50 kumpul dana bantu pemilik kereta terjejas banjir Hatyai
- Admin UKK
- Berita
ALOR SETAR: Sepuluh pemilik Proton X50 yang terjejas akibat bencana banjir Hatyai, Thailand, menarik nafas lega apabila 'keluarga' kenderaan utiliti sukan (SUV) itu tampil menghulurkan bantuan kewangan bagi memudahkan proses menunda keluar kenderaan mereka ke Malaysia.
Muhammad Aliff Ikhwan Ahmad, 31, daripada kelab X50 Kedah Crew berkata dia serta ahli kelab yang lain sudah beberapa kali menganjurkan fun drive ke Hatyai dan kebanyakan mereka hanya mengambil perlindungan insurans asas ketika berada di negara terbabit.
"Biasanya kami tidak buat extension (melanjutkan insurans sedia ada di Malaysia bagi perlindungan di luar negara), cuma kali ini nasib kami kurang baik kerana banjir besar yang melanda langsung tidak dapat dijangka.
"Kami terkandas di Hatyai bermula 21 hingga 27 November dan selepas selamat keluar, kami cari trak tunda sendiri dengan bantuan dana yang dikumpulkan kelab X50 Kedah dan kelab X50 satu Malaysia," katanya.
Katanya, kos menunda setiap kereta yang terjejas dari hotel penginapan ke pusat servis Proton di Alor Setar adalah sekitar RM1,100.
"Saya selaku individu menguruskan X50 Kedah Crew, nak ucapkan jutaan terima kasih kepada semua ahli X50 Kedah yang memberi sumbangan bagi membantu kami sewaktu di sana.
"Mereka juga kumpul duit untuk sewa bot, upah orang hantar makanan, sewa van untuk hantar kami dari Hat Yai ke sempadan dan terima kasih juga kepada kelab X50 lain yang turut memberi sumbangan kepada kami dan sudi membantu kami dalam kesusahan," katanya.
Insurans wajib ketika masuk Thailand tak lindungi bencana
Sementara itu, ejen insurans, Ammar Wafiy Johari berkata insurans yang dibeli untuk masuk ke Thailand seperti compulsory insurance (CI), voluntary insurance (VI) dan travel insurance (TI) tidak melindungi kenderaan yang terbabit bencana.
Beliau berkata, kebanyakan rakyat Malaysia yang menggunakan kenderaan sendiri ke Hatyai dan terlibat dalam banjir baru-baru ini, dipercayai tidak melanjutkan insurans sedia ada di Malaysia bagi perlindungan di luar negara.
"Hanya jika mereka menambah perlindungan Extension 101 (E101) daripada polisi insurans sedia ada di Malaysia dengan perlindungan tambahan untuk bencana, barulah mereka dilindungi," katanya.
Katanya, bencana banjir besar yang berlaku baru-baru ini perlu dijadikan pengajaran kepada orang ramai untuk melanjutkan polisi insurans sedia ada di Malaysia dengan perlindungan bencana sebelum ke Thailand.
