OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

JKR pantau, tangani segera kejadian lubang benam di Lebuh SPA - Nanta

JKR pantau, tangani segera kejadian lubang benam di Lebuh SPA - Nanta

MELAKA: Kegagalan struktur pembentung bawah tanah (culvert) dikenal pasti sebagai punca kejadian lubang benam yang berlaku di laluan Jalan Persekutuan FT033, Seksyen 22.0 Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) menghala ke Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal di sini, malam tadi.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata siasatan awal Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati pembentung bersaiz 1.8 meter x 1.8 meter sepanjang 40 meter pada kedalaman 10 hingga 11 meter itu didapati gagal berfungsi sehingga menyebabkan mendapan serius di permukaan jalan.

Susulan itu, beliau berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap keseluruhan jajaran pembentung yang merentasi Lebuh SPA bagi memastikan tiada risiko kejadian berulang.

"Kita akan lihat keseluruhan struktur pembentung sepanjang jalan ini dan tidak mustahil bahagian lain juga mungkin mempunyai masalah yang sama," katanya selepas meninjau lokasi mendapan tanah itu hari ini.

Yang turut hadir, EXCO Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Ketua Pengarah JKR, Datuk Roslan Ismail.

 

Kejadian lubang benam bersaiz kira-kira 10 meter panjang dan lima meter lebar itu disedari berlaku pada jam 11.18 malam tadi.

Bagaimanapun, tiada kemalangan atau kejadian tidak diingini membabitkan pengguna jalan raya dilaporkan.

Dalam perkembangan sama, Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam satu kenyataan, memaklumkan tindakan mitigasi segera dilaksanakan di tapak kejadian bagi keselamatan pengguna jalan raya melalui pemasangan papan tanda amaran, lencongan trafik dan penutupan lorong laju sepanjang 300 meter untuk kedua-dua arah.

Kenyataan itu memaklumkan, bagi kerja pembaikan kekal, tindakan utama yang akan diambil adalah kerja pengorekan dengan perimeter 10 meter x lima meter sedalam 10 meter, termasuk pemasangan dinding penahan sementara atau `temporary sheet pile' untuk mengenal pasti kawasan struktur pembentung itu.

Sementara itu, Alexander berkata, pihaknya mengesan 145 lokasi jalan di seluruh negara terjejas dengan bencana membabitkan 63 Jalan Persekutuan dan 82 Jalan Negeri.

"Selain itu, 82 lokasi dikesan terjejas banjir, banjir kilat (32 lokasi), cerun runtuh (16 lokasi), jalan runtuh (sembilan lokasi), jalan mendap (lima lokasi) dan jambatan rosak atau runtuh (satu lokasi).

"Bagi kejadian tanah runtuh di Pangsapuri Puncak Arabella di Tanah Rata, Cameron Highlands baru-baru ini, kawasan itu berada di bawah jagaan kerajaan Pahang.

"Bagaimanapun, pasukan JKR sudah meninjau lokasi kejadian dan menyediakan laporan berhubung kejadian serta puncanya. JKR juga sentiasa bersedia membantu dengan menyediakan aset teknikal jika diperlukan," katanya.

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search