OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

'Neraka Hong Kong' amaran buat Malaysia

'Neraka Hong Kong' amaran buat Malaysia

JERITAN ketakutan berbaur ketika api menyambar lapan blok kediaman 31 tingkat di Wang Fuk Court, Tai Po, yang menempatkan hampir 4,600 penduduk.

Kebakaran digelar ‘neraka Hong Kong’ itu dipercayai bermula pada perancah buluh dan jaring hijau kerja ubah suai yang menjadi pemangkin api merebak pantas.

Dalam sekelip mata, bangunan tinggi yang sepatutnya melindungi berubah menjadi perangkap maut. Seramai 128 orang terkorban setakat Sabtu dan 200 lagi hilang.

Pengalaman ngeri di Hong Kong baru-baru ini itu bukan asing bagi Malaysia. Kita pernah tersentak apabila blok pejabat milik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Petaling Jaya terbakar pada 2018 disebabkan ‘cladding’ atau panel pelindung mudah terbakar yang melanggar spesifikasi keselamatan.

Sejurus itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mendedahkan sekurang-kurangnya 47 bangunan tinggi di seluruh negara, berisiko tinggi kebakaran.

Namun sejak insiden itu, berapa banyak bangunan tinggi yang benar-benar diaudit?

Menurut data Majlis Bangunan Tinggi dan Habitat Bandar (CTBUH), sebuah NGO antarabangsa bagi bangunan tinggi, Malaysia memiliki sekitar 327 bangunan siap yang melebihi 150 meter atau 40 hingga 50 tingkat, ketinggian yang dikategorikan sebagai pencakar langit.

Ratusan bangunan tinggi ini berisiko besar jika aspek keselamatan diabaikan. Wang Fuk Court sudah buktikan ketinggian dan bilangan tingkat terdedah bahaya andai sistem kawalan dan bahan binaan gagal.

Setiap bangunan tinggi sama ada kondominium, pejabat atau pangsapuri, mesti diuji, diperiksa dan diwartakan mengikut piawaian keselamatan terkini.

Sistem penggera perlu berfungsi, sprinkler aktif, laluan kecemasan jelas, bahan luaran tahan api dan ubahsuai dipantau ketat. Bukan hanya semasa bina, tetapi seumur hidup bangunan.

Penghuni di Wang Fuk Court sepatutnya berhak merasa aman ketika pulang ke rumah, begitu juga kita di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Johor, George Town atau mana-mana bandar bertingkat di Malaysia.

Jangan tunggu jeritan cemas dan asap hitam memenuhi langit bandar kita sebelum bertindak. Jika tragedi Wang Fuk Court tidak membuka mata, apa lagi yang mampu?

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search