Operasi bawa pulang pelajar UUM terkandas di Hatyai dijadual pagi ini
- Admin UKK
- Berita
Sintok: Usaha membawa pulang penuntut dan pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terkandas akibat banjir di Hatyai, Thailand, sejak Sabtu lalu, dijadualkan dilakukan pagi ini.
UUM dalam kenyataan berkata, operasi pemindahan pelajar terbabit akan dibuat pihak Konsulat Malaysia di Thailand dengan bantuan badan bukan kerajaan (NGO).
"Marilah kita sama-sama berdoa segala perancangan berjalan lancar dan pelajar dapat dibawa pulang dengan selamat," katanya.
Sebelum ini, 12 bot bantuan digerakkan melalui kerjasama NGO bagi menghantar makanan dan keperluan asas kepada pelajar yang berlindung di Hotel Wangburapa Grand itu.
"Namun arus deras memaksa semua bot itu terpaksa berpatah balik demi keselamatan," katanya.
Menurut kenyataan sama, keadaan di kawasan hotel itu dilapor lebih kritikal berbanding lokasi lain kerana kedudukannya berhampiran sungai, selain paras air yang naik sehingga melebihi tingkat satu bangunan.
"Situasi itu sekali gus menyukarkan akses kenderaan termasuk kereta dan lori untuk masuk menghampiri kawasan terbabit," katanya.
Semalam, media melaporkan 40 penuntut dan pensyarah UUM yang terkandas di sebuah hotel di Hatyai, Thailand kini kekurangan bekalan makanan apabila hanya makan bubur nasi yang dicatu, manakala seorang pelajar dengan talasemia dilaporkan kehabisan ubat.
Tiada siapa dalam kumpulan itu mampu keluar membeli ubat atau makanan berikutan paras air yang menenggelami seluruh kawasan.
Penuntut terbabit adalah peserta Thai-MYS Cultural Exchange Programme 2025 dan sepatutnya pulang Sabtu lalu, namun mereka terperangkap di hotel akibat banjir besar, dalam keadaan tanpa bekalan elektrik dan air.
