Penduduk ragui ketahanan binaan Jalan Pantai Batu Rakit
- Admin UKK
- Berita
KUALA NERUS: Mampu bertahan atau sebaliknya?
Itu persoalan yang timbul dalam kalangan penduduk terhadap struktur binaan Jalan Pantai Batu Rakit, berhampiran Kampung Tanjung, di sini yang sedang dibaiki ekoran perubahan cuaca dengan ombak kuat serta hujan berterusan ketika ini.
Jalan berkenaan sebelum ini mengalami runtuhan sepanjang 280 meter akibat fenomena cuaca buruk semasa musim Monsun Timur Laut (MTL) tahun lalu dan kerja-kerja pembaikan dimulakan pada April lepas.
Projek tersebut dijangka siap sepenuhnya pada awal Oktober lepas namun kejadian runtuhan semula menyebabkan laluan itu terpaksa ditutup.
Ketika ini, kerja-kerja membaik pulih sedang rancak dijalankan dan dijangka mengambil masa enam bulan untuk disiapkan.
Kebimbangan penduduk sekitar kembali memuncak susulan keadaan benteng yang dilihat seperti tidak stabil ekoran perubahan cuaca sejak beberapa hari lalu.
Seorang penduduk, Mohammad Nazri Razali berkata, keadaan di kawasan benteng itu membimbangkan terutama apabila ombak mula menghakis binaan yang bahru disiapkan semula.
Katanya, struktur benteng kelihatan tidak lagi berada pada kedudukan asal dan berisiko runtuh sekiranya ombak kuat melanda pada bila-bila masa.
“Tengkujuh datang dalam beberapa episod dan saya harap tiada kejadiaan tidak diingini berlaku sepanjang kerja-kerja membaik pulih dilakukan,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Wahid Ramli berkata, walaupun runtuhan pada benteng di laluan itu mula dibaiki, keadaan keseluruhan struktur belum meyakinkan termasuk ceracak besi yang dipacak sementara.-UTUSAN.
