Bah besar di selatan Thailand, 1.9 juta penduduk terjejas
- Admin UKK
- Berita
BANGKOK: Hujan lebat yang berterusan sejak beberapa hari lalu mengakibatkan banjir besar melanda selatan Thailand, memaksa ribuan penduduk dipindahkan selepas kediaman mereka ditenggelami air.
Menurut kenyataan Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM), sebanyak 10 wilayah terjejas termasuk Surat Thani, Krabi, Nakhon Si Thammarat, Trang, Phatthalung, Satun, Songkhla, Pattani, Yala dan Narathiwat.
Lebih 1.9 juta penduduk daripada 720,000 isi rumah dilaporkan terkesan dengan keadaan air yang terus meningkat, terutamanya di kawasan rendah serta daerah yang berada di laluan aliran deras.
Wilayah Songkhla merupakan kawasan paling teruk dilanda bencana, dengan daerah Hat Yai diisytiharkan sebagai zon merah, sekali gus memaksa pemindahan segera di lebih 115 subdaerah dan 821 kampung bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Operasi menyelamat digerakkan secara besar-besaran dengan penyertaan tentera dan polis sempadan bagi membantu penduduk yang terperangkap, terutama di kawasan terpencil.
Rakaman media tempatan menunjukkan keadaan di Hat Yai semakin membimbangkan, apabila penduduk terpaksa meredah air separas pinggang manakala kedai, rumah dan kenderaan dilaporkan tenggelam sepenuhnya.
Ada yang terpaksa menggunakan kotak plastik untuk membawa anak kecil keluar dari kawasan banjir.
Pihak berkuasa turut memberi amaran bahawa hujan monsun dijangka berterusan hingga hujung minggu, meningkatkan risiko tanah runtuh serta gangguan bekalan air dan elektrik di kawasan tertentu.
Dalam pada itu, pusat perlindungan sementara dibuka di seluruh wilayah terjejas bagi menempatkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal, sementara bantuan kecemasan terus disalurkan bagi memastikan keperluan asas penduduk dipenuhi.
