Laporan EIA pastikan pembangunan tidak rosakkan alam sekitar
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Projek pembangunan yang dijalankan tanpa Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) boleh mencetuskan pencemaran serius, merosakkan ekosistem dan menjejaskan kehidupan masyarakat sekeliling.
Pegawai Kawalan Alam Sekitar Kanan, Seksyen Mitigasi dan Bat EIA Bahagian Penilaian Jabatan Alam Sekitar (JAS), Mohammad Rahimi Dollah berkata, EIA berfungsi sebagai mekanisme pencegahan awal bagi memastikan pembangunan yang dirancang tidak mengancam alam sekitar.
"Walaupun begitu, tidak semua pembangunan memerlukan penyediaan dan kelulusan Laporan EIA.
"Hanya aktiviti pembangunan yang dikategorikan sebagai aktiviti yang ditetapkan di bawah Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) (Aktiviti Yang Ditetapkan) 2015.
"Atau mudahnya disebut Perintah EIA 2015 sahaja perlu mengemukakan Laporan EIA kepada JAS sebagaimana keperluan di bawah Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974)," katanya kepada Harian Metro.
Mengulas lanjut, beliau berkata, antara aktiviti yang tertakluk dalam Jadual Pertama dan Kedua Perintah EIA termasuk perlombongan di kawasan sensitif, pembangunan perumahan melebihi 50 hektar, pembinaan lebuh raya dan aerodrom.
Jelasnya, aktiviti berkenaan, dikenal pasti berpotensi memberi kesan besar terhadap alam sekitar dan sosioekonomi penduduk setempat.
"Pemaju projek atau industri yang berhasrat menjalankan pembangunan perlu melantik perunding berdaftar dengan alam sekitar untuk menyediakan Laporan EIA.
"Laporan lengkap perlu dikemukakan kepada JAS untuk diproses dalam tempoh 25 hari bagi EIA Jadual Pertama dan 60 hari bagi EIA Jadual Kedua.
"EIA tidak berakhir selepas kelulusan kerana ia diluluskan secara bersyarat. Selepas itu, ia disusuli dengan Pelan Pengurusan Alam Sekitar yang memperincikan program pemantauan dan pengurusan sepanjang tempoh pembinaan dan operasi bagi memastikan semua langkah mitigasi serta syarat kelulusan dipatuhi sepenuhnya," katanya.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Seksyen Kompetensi EIA, Bahagian Penilaian JAS, Nur Lizrin Johari berkata, laporan EIA berfungsi untuk mengenal pasti, meramal dan menilai kesan sesebuah projek terhadap alam sekitar, kesihatan manusia, serta aspek sosial atau ekonomi.
"Laporan ini juga akan memperincikan langkah kawalan dan mitigasi ke atas alam sekitar sebelum projek pembangunan diluluskan oleh pihak yang meluluskan.
"Bukan itu sahaja, dengan mengenal pasti kesan negatif pada peringkat awal, laporan ini membolehkan langkah mitigasi dirangka dan dimasukkan ke dalam reka bentuk projek.
"Ini penting untuk mengelakkan dan mengurangkan risiko kemusnahan alam sekitar serta masalah pencemaran semasa pelaksanaan projek pada masa hadapan," katanya.
Mengulas berkenaan kesan sesuatu projek dilaksanakan tanpa menjalani proses EIA, beliau berkata, kesan kepada alam sekitar tidak dapat dijangka dan diramal dengan lebih awal dari segi potensi serta magnitudnya.
Katanya, pencemaran tidak dapat dibendung lebih awal dan menyebabkan berlakunya kerosakan kepada ekosistem, peningkata kos pembaikan, kehilangan harta benda serta peningkatan konflik hidupan liar atau manusia.
"Pentingnya pameran Awam memainkan peranan amat berguna dalam proses penilaian EIA kerana ia memastikan proses itu adalah telus, inklusif dan mengambil kita pandangan pihak berkepentingan yang terjejas secara langsung oleh projek pembangunan yang dicadangkan," katanya.
Berkenaan langkah meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai EIA, beliau berkata, JAS menganjurkan seminar, ceramah dan pameran, termasuk Program Rakan Alam Sekitar (RAS) serta menyebarkan maklumat melalui media cetak, elektronik atau sosial.
Nur Lizrin menambah, pameran awam bagi laporan EIA Jadual Kedua juga memberikan masyarakat peluang meneliti dokumen secara menyeluruh dan memberi maklum balas sebelum laporan diluluskan, sekali gus meningkatkan ketelusan serta membolehkan pemilik projek berinteraksi dengan komuniti yang terjejas.
"Kami juga mewujudkan skim Pendaftaran Jururunding EIA memastikan hanya individu yang bertauliah dan berdaftar sahaja yang boleh menyediakan Laporan EIA. Ini secara tidak langsung meningkatkan profesionalisme dan kualiti laporan.
"Penerbitan garis panduan, manual dan prosedur operasi standard (SOP) yang komprehensif berkaitan EIA bagi memudahkan pihak industri (penggerak projek) serta perunding memahami keperluan dan proses EIA dengan jelas dan seragam," katanya.
