14 tahun projek RTB Sungai Kedah Anak Bukit tak siap, tarikh siap diberi lanjutan kali kelima
- Admin UKK
- Berita
ALOR SETAR: Isu Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kedah Anak Bukit (SKAB) Pakej 2 yang masih belum siap selepas 14 tahun dilaksanakan dibangkitkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini, dengan kerajaan negeri mengesahkan lanjutan masa (EOT) baharu selama 231 hari diberikan.
Ini kali kelima projek itu diberikan lanjutan masa, dengan tarikh siap baharu ditetapkan 14 Jun 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar negeri, Datuk Mohammad Yusoff @ Munir Zakaria, berkata kerajaan negeri akan terus memantau pelaksanaan projek bagi memastikan ia disiapkan dalam tempoh ditetapkan.
Beliau menegaskan, tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya berlaku ketidakpatuhan terhadap syarat kontrak bagi mengelak kelewatan berulang.
"Dalam tempoh penyiapan projek, kerajaan melalui pasukan projek akan bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri untuk memastikan risiko banjir berada pada tahap minimum dan keselamatan penduduk diutamakan," katanya pada Sidang DUN Kedah hari ini.
Mohammad Yusoff (PN–Kuala Nerang) berkata demikian menjawab soalan Rashidi Razak (PN–Anak Bukit) mengenai status semasa projek RTB SKAB dan langkah kerajaan negeri bagi memastikan ia dapat disiapkan sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat.
Projek itu sebelum ini dikategorikan sebagai sakit selepas beberapa kali mengalami kelewatan dan perubahan kontraktor.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilapor turut menzahirkan kebimbangan terhadap nasib projek itu dan berharap ia diberikan keutamaan oleh Kerajaan Persekutuan.
Media sebelum ini melaporkan masalah banjir di kawasan Mukim Sungai Baru membabitkan empat kampung utama iaitu Kampung Sungai Baru Tok Keramat, Kampung Sungai Baru Tengah, Kampung Sungai Baru Hilir dan Kampung Sungai Baru Kuala Sungai sudah berlarutan selama beberapa dekad.
Antara kejadian terburuk ketika banjir besar pada 2010 yang menenggelamkan ratusan rumah dan insiden sama berulang tahun lalu membabitkan lebih 600 rumah penduduk.
Ketua Pembangkang DUN Kedah, Bau Wong Bau Ek, berkata projek naik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau berkemungkinan turut menjadi projek gajah putih susulan mengalami kelewatan yang ketara.
"Dikatakan isu utama ialah penghantaran pam yang mungkin memerlukan masa sehingga enam bulan menyebabkan kelesuan kepada perkembangan projek.
"Kerajaan negeri perlu memberi fokus daripada segi peruntukan yang sewajarnya supaya masalah itu dapat diselesaikan di samping turut menyediakan pelan alternatif bagi menyiapkan projek LRA itu dengan kadar segera," katanya.
