Beri perhatian masalah banjir Merbung
- Admin UKK
- Berita
ENGKILILI, 9 Nov: Masalah banjir berulang di kawasan Merbung kini mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr. Johnnical Rayong Ngipa.
Beliau berkata, tindakan segera perlu diambil oleh pihak berkuasa tempatan.
Menurutnya, keadaan jalan yang rendah dan ketiadaan sistem perparitan baik menjadi punca utama banjir setiap kali musim tengkujuh tiba.
“Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) perlu duduk bersama wakil komuniti serta ketua kaum untuk mencari penyelesaian segera.
“Masalah ini perlu diberi perhatian segera, terutama dengan musim Monsun Timur Laut yang hampir tiba,” katanya selepas menghadiri Program Pemimpin Bersama Komuniti anjuran JKKK Rumah Panjang John Mat di Merbong Batang Ai, pada Ahad.
Beliau menambah, satu mesyuarat bersama agensi teknikal akan diadakan bagi menilai semula sistem saliran serta menaik taraf infrastruktur jalan di kawasan terjejas.
“Kita berharap kerjasama erat antara pihak berkuasa dan komuniti dapat memastikan masalah banjir di Merbung dapat diatasi pada masa hadapan,” ujarnya.-TVS
