Air Sungai Perak kebiruan: Hasil siasatan pencemaran akan diketahui esok - Shaarani
- Admin UKK
- Berita
IPOH: Kerajaan Perak sudah mengarahkan operator tiga aktiviti perlombongan berhampiran kawasan hulu Sungai Perak di Kampung Sungai Papan, Gerik, yang tular dengan kejadian air sungai bertukar kebiruan dan didakwa tercemar baru-baru ini, menghentikan operasi buat sementara waktu.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia bagi memberi laluan kepada siasatan yang dijalankan beberapa jabatan antaranya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Mineral dan Galian (JMG), serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG), selain Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Beliau berkata, ketiga-tiga operator perlombongan itu berlesen dan beroperasi secara sah.
Ditanya mengenai tindakan lanjut ke atas operator perlombongan yang dikenal pasti penyebab pencemaran itu, Saarani berkata, buat sementara ini kenyataan secara pasti berkaitan kejadian itu hanya boleh dibuat oleh kerajaan negeri selepas jabatan selesai menjalankan siasatan.
Beliau berkata, dapatan daripada hasil siasatan yang dijalankan beberapa jabatan itu, dijangka diketahui seawalnya esok iaitu selepas mesyuarat dipengerusikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Pengarah, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Halizah Sipun.
"Semalam saya menelefon Pengarah JMG dan esok mereka ada mesyuarat yang dipengerusikan oleh Halizah Sipun. Jadi saya tak mahu mengeluarkan apa-apa kenyataan lagi sehingga jabatan berkaitan membuat kajian dan ada dapatan mereka.
"Esok mereka akan membuat laporan taklimat kepada Mesyuarat Exco (kerajaan negeri) dan selepas Mesyuarat Exco nanti kita akan keluarkan kenyataan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Jelajah Taat Setia Ketua Setiausaha Negara (KSN) ke Perak di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Saarani berkata, sejurus pertama kali mendapat khabar mengenai pencemaran itu beliau sudah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri (Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim) serta ketua jabatan selain Pegawai Daerah yang berkaitan untuk membuat siasatan mengenai fenomena air sungai bertukar warna biru berkenaan.
Ditanya sama ada air sungai di tempat kejadian selamat untuk digunakan, Saarani berkata, beliau difahamkan oleh Pegawai Daerah bahawa pencemaran di situ pada peringkat awal turut menyebabkan hidupan sungai seperti ikan mati.
"Saya ada bertanya kepada Pegawai Daerah minggu lalu sebab saya berhasrat hendak pergi lihat, namun dikatakan air di situ sudah pun (kembali) jernih seperti biasa.
"Namun dikatakan pada peringkat awal pencemaran itu ada ikan yang mati, bermaksud ada berlaku pencemaran pada hari itu. Yang lain itu esok kita akan dapat maklumat daripada Jabatan Kesihatan Negeri juga," katanya.
Terdahulu, media melaporkan Pengarah JAS Perak, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh mengesahkan siasatan pihaknya mendapati dua kawasan perlombongan melepaskan efluen yang melebihi had parameter dibenarkan, justeru menyebabkan tindak balas kimia tertentu yang menyebabkan air sungai itu bertukar biru.
