OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Taufan Kalmaegi badai tengah Filipina, sekurang-kurang 2 maut

Taufan Kalmaegi badai tengah Filipina, sekurang-kurang 2 maut

MANILA: Sekurang-kurang dua mangsa terkorban akibat badai Taufan Kalmaegi yang melanda tengah Filipina, hari ini, dengan membawa hujan lebat, angin kencang dan ombak besar.

AFP melaporkan ratusan ribu penduduk terjejas akibat bencana alam itu yang bukan saja mencetuskan banjir menenggelami rumah, kenderaan dan jalan raya, malah ribut kuat turut menyebabkan pokok serta tiang elektrik tumbang.

"Malah, ada penduduk yang terdampar di atas bumbung rumah dan meminta pertolongan supaya diselamatkan.

"Bukan itu saja, terdapat beberapa pusat pemindahan sementara turut dinaiki air," kata pegawai maklumat Cebu, Rhon Ramos, kepada AFP melalui panggilan telefon.

Selain itu, beliau berkata, ratusan penduduk yang masih berlindung di khemah penempatan sementara susulan gempa bumi kuat berukuran 6.9 magnitud menggegarkan pulau itu pada akhir September lalu, juga terpaksa berpindah atas faktor keselamatan.

 

Penduduk di Bandar Cebu, Don del Rosario, 28, adalah antara mangsa yang terpaksa bergegas ke tingkat atas rumah untuk menyelamatkan diri ketika ribut kuat membadai.

"Air naik begitu pantas. Berdasarkan maklumat yang saya peroleh, banjir mula melanda sekitar jam 3 pagi.

"Menjelang jam 4 pagi, keadaan tidak lagi terkawal - penduduk terperangkap dan tidak dapat keluar dari rumah mereka.

"Saya sudah tinggal di sini selama 28 tahun, dan bencana ini adalah yang terburuk pernah dialami, setakat ini," katanya.

Timbalan Pentadbir di Pejabat Pertahanan Awam, Rafaelito Alejandro, memberitahu stesen radio tempatan bahawa kira-kira 387,000 penduduk sudah dipindahkan dari kawasan laluan taufan itu, manakala seorang lelaki maut dihempap sebatang pokok yang tumbang di wilayah Bohol.

Pegawai bencana, Danilo Atienza pula memaklumkan bahawa seorang warga emas terkorban akibat lemas di wilayah Leyte.

"Warga emas itu terperangkap di tingkat atas dan tidak berupaya mendapatkan bantuan," katanya kepada stesen radio DZMM.

Sementara itu, REUTERS melaporkan Taufan Kalmaegi yang turut diberikan nama tempatan sebagai 'Tino', membadai pada awal pagi tadi dengan membawa angin mencecah kelajuan 150 kilometer sejam (km/j) bersama deruan kencang hingga 205km/j.

Ia diramalkan bergerak merentasi wilayah Kepulauan Visayas dan keluar ke Laut China Selatan menjelang esok.

Puluhan ribu penduduk telah dipindahkan di seluruh wilayah Visayas, termasuk beberapa bahagian di selatan Luzon serta utara Mindanao.

Rakaman video dipaparkan melalui laman Facebook stesen radio DZRH menunjukkan rumah-rumah di Bandar Talisay ditenggelami banjir hingga paras bumbung.

Perkongsian melalui media sosial turut menunjukkan keadaan sama berlaku di sekitar Bandar Cebu yang menyaksikan banjir menenggelami kenderaan dan jalan raya.

Agensi cuaca negara, PAGASA, berkata pertembungan Taufan Kalmaegi dengan garisan ricih telah membawa hujan lebat dan angin kencang ke seluruh Visayas serta kawasan berhampiran.

Lebih 160 penerbangan ke dan dari kawasan terjejas dibatalkan, manakala mereka yang berada di laut dinasihatkan agar segera menuju ke pelabuhan yang selamat serta berlindung di sana.

PAGASA turut memberi amaran mengenai ombak besar yang berisiko tinggi mengancam nyawa dan mengakibatkan kemusnahan.

Ia boleh mencecah setinggi lebih tiga meter di sepanjang kawasan pesisir dan kawasan rendah di tengah Filipina, termasuk sebahagian Mindanao.

Dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan Vietnam hari ini memaklumkan bahawa pihaknya bersiap siaga menghadapi sebarang senario terburuk akibat impak Taufan Kalmaegi yang dijangka membadai negara itu pada malam Khamis ini.

 

 

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search