8,940 PPS siap siaga hadapi Monsun Timur Laut
- Admin UKK
- Berita
PUCHONG – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menempatkan 8,940 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut.
Ketua Pengarah NADMA, Datuk Abdul Halim Hamzah berkata, semua agensi berkaitan juga sudah digerakkan di bawah Mekanisme Tindak Balas Bencana Negara bagi menghadapi musim yang dijangka bermula November hingga Mac tahun depan itu.
“Kita kini berada pada tahap kesiapsiagaan dengan tenaga kerja dan aset daripada semua agensi tindak balas serta sokongan teknikal, termasuk polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang telah bersiap siaga,” katanya selepas sesi libat urus di Pangkalan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), di sini hari ini.
Beliau menambah, rangkaian PPS di seluruh negara akan diuruskan oleh pegawai daerah di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah bagi memastikan pengaktifan dan penyelarasan lebih pantas apabila diperlukan.
Mengenai penambahbaikan bagi musim kali ini, beliau berkata salah satu daripadanya adalah penyaluran Bantuan Wang Ihsan (BWI) secara pantas melalui aplikasi MyInfoBencanaJKM yang diselaraskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Bank Simpanan Nasional (BSN).
“Bermula kitaran monsun ini, bayaran bantuan boleh diselesaikan dalam tempoh seminggu selepas pendaftaran di PPS,” katanya sambil menambah pendaftaran awal adalah penting bagi memastikan bantuan sampai dengan lancar.
Katanya, kerajaan telah mengeluarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikemas kini di bawah Arahan No. 1 Pengurusan Bencana bagi memastikan semua agensi beroperasi di bawah satu rantaian arahan yang seragam.
Merujuk insiden baru-baru ini di Perak, Kedah dan Sabah, Abdul Halim berkata, model operasi baharu NADMA kini memberi penekanan kepada amaran awal komuniti dan pemindahan secara proaktif.
“Dalam beberapa kejadian sebelum ini, tanda amaran awal sudah ada tetapi masyarakat masih ragu-ragu untuk berpindah. “Kami menggesa penduduk bertindak segera apabila paras air meningkat atau arahan pemindahan dikeluarkan,” katanya lagi.
Tambahnya, pengajaran daripada insiden banjir Sri Muda 2021, banjir Baling 2022 dan banjir Kota Tinggi 2023 telah membentuk fokus baharu NADMA terhadap pencegahan dan kesiapsiagaan.
