8,940 pusat pemindahan sementara siap sedia berdepan Monsun Timur Laut - Nadma
- Admin UKK
- Berita
PUCHONG – Sebanyak 8,940 pusat pemindahan sementara (PPS) dalam keadaan siap sedia bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlaku 6 November hingga 26 Mac tahun depan.
Daripada jumlah itu, sekolah direkodkan jumlah tertinggi dijadikan PPS iaitu 5,266, diikuti dewan (1,771), balai raya (873), masjid (331), surau (305), pusat komuniti (285) dan selebihnya lain-lain tempat (109) yang merangkumi 2,179,369 kapasiti individu.
Menurutnya, aset pula merangkumi pelbagai antaranya helikopter, lori, bot serta jaket keselamatan.
"Rangkaian PPS di seluruh negara akan dikendalikan oleh pegawai daerah melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, bagi memastikan pengaktifan dan penyelarasan dapat dilakukan dengan lebih pantas apabila diperlukan.
"Antara penambahbaikan utama tahun ini ialah pelaksanaan Bantuan Wang Ihsan (BWI) secara cepat melalui aplikasi MyInfoBencanaJKM, yang diselaraskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional (BSN).
“Pada MTL kali ini, pembayaran bantuan boleh diselesaikan dalam tempoh seminggu selepas pendaftaran di PPS,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus Bersama Media: Persiapan Kerajaan Menghadapi MTL 2025/2026 di Markas Smart, Pulau Meranti di sini pada Khamis.
Beliau berkata, kerajaan juga telah mengeluarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) terkini di bawah Pengurusan Bencana bagi memastikan semua agensi beroperasi di bawah rantaian arahan yang seragam.
Mengulas mengenai kejadian banjir baru-baru ini di Perak, Kedah dan Sabah, Abdul Halim berkata, model operasi baharu Nadma kini memberi penekanan kepada amaran awal komuniti dan pemindahan proaktif.
“Dalam beberapa insiden sebelum ini, tanda amaran awal sudah ada, tetapi penduduk masih ragu-ragu untuk berpindah. Kami menyeru penduduk agar bertindak segera apabila paras air meningkat atau notis pemindahan dikeluarkan,” katanya.
Beliau menambah, pihaknya mengambil maklum berdasarkan kejadian banjir besar pada tahun 2021 di Sri Muda, Shah Alam; banjir di Baling, Kedah pada 2022 dan banjir di Kota Tinggi, Johor pada 2023.
Katanya, ia menjadi asas kepada penekanan Nadma terhadap langkah pencegahan dan kesiapsiagaan.
Abdul Halim berkata, semua agensi kini giat menjalankan latihan bersama dan simulasi koordinasi bagi memperkukuh komunikasi antara jawatankuasa bencana tempatan dan pasukan barisan hadapan.
