Mossy Forest ditutup sementara akibat tanah runtuh
- Admin UKK
- Berita
KUANTAN: Pejabat Hutan Daerah Cameron Highlands menutup sementara Taman Eko Rimba Mossy Forest, Cameron Highlands berikutan kejadian tanah runtuh, semalam.
Pegawai Hutan Daerah Cameron Highlands, Nasrul Akmal Amaludin, berkata tanah runtuh itu menyebabkan laluan pejalan kaki tidak selamat untuk dilalui.
Katanya, tinjauan awal mendapati kira-kira 100 meter tanah cerun runtuh di laluan pejalan kaki akibat hujan berlebihan sejak beberapa hari lalu.
"Pejabat Hutan Cameron Highlands mengambil keputusan menutup sementara laluan pejalan kaki di Taman Eko Rimba Mossy Forest bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
"Kita turut membatalkan semua aktiviti di dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) Batu Gangan serta merta sehingga tarikh akan dimaklumkan semula.
"Tanah runtuh menyebabkan laluan pejalan kaki kini seakan tergantung, usaha membaiki kerosakan berkenaan mengambil masa yang panjang berikutan hujan yang berlaku tidak menentu menjalang Monson Timur Laut (MTL) bulan depan," katanya.
Nasrul Akmal memaklumkan pihaknya sudah menempatkan kakitangan mengawal kawasan berkenaan bagi memastikan tidak ada individu bertindak menceroboh laluan berjalan kaki di kawasan berkenaan.
Katanya, kemungkinan tanah runtuh akan berlaku lagi jika hujan berterusan berlaku di daerah berkenaan.
Sementara itu, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) turut menutup sementara beberapa taman rimba eko dan taman negeri di Raub; Rompin; Bentong; Lipis dan Kuantan.
Orang ramai yang ingin berkunjung ke taman rimba eko dan taman negeri perlu menghubungi pejabat hutan daerah bagi mendapatkan maklumat.
