Dewan Rakyat: Malaysia percepat amaran awal gempa bumi tahun depan
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR, 23 Okt: Malaysia menyasarkan tempoh pengeluaran amaran awal gempa bumi dan tsunami dipercepatkan kepada enam minit berbanding lapan minit ketika ini.
Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perkara itu dijangka dapat direalisasikan pada tahun depan,
Jelas beliau, usaha dilakukan melalui peningkatan keupayaan sistem amaran dan rangkaian pemantauan gempa di seluruh negara.
“Maklumat gempa dan amaran awal tsunami dikeluarkan dalam tempoh lima minit selepas pengesahan dan disalurkan kepada agensi berkaitan serta orang awam melalui pelbagai saluran komunikasi.
“Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) sedang menaik taraf sistem bagi mempercepatkan pengeluaran maklumat daripada lapan minit kepada enam minit menjelang 2026 dan seterusnya lebih pantas selepas itu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) yang meminta kerajaan menyatakan persediaan bagi menghadapi kejadian gempa bumi terutamanya bagi kawasan yang tidak pernah mengalaminya.
Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, ketika ini terdapat 80 stesen seismik di seluruh negara yang disokong oleh 323 stesen antarabangsa dengan data masa nyata bagi memastikan pemantauan lebih menyeluruh.
“MET Malaysia turut bekerjasama rapat dengan Pusat Amaran Tsunami Pasifik, Pusat Penasihat Tsunami Laut China Selatan, dan Sistem Amaran serta Mitigasi Tsunami Lautan Hindi.
“Ini memastikan amaran awal yang dikeluarkan tepat dan boleh dipercayai,” jelasnya.
Johari menegaskan, langkah itu penting bagi memastikan kesiapsiagaan negara terhadap kejadian gempa, termasuk di kawasan yang sebelum ini tidak pernah terdedah kepada ancaman tersebut.
Dalam pada itu, Johari memberitahu pihaknya telah mengenal pasti beberapa kawasan di negara ini sebagai ‘hotspot’ gempa bumi.
Kata beliau, antara kawasan yang dikenal pasti termasuk Ranau, Lahad Datu, Niah, Bukit Tinggi, Janda Baik, Batang Kali, Ulu Yam, Kuala Pilah, Kenyir, Manjung dan Temenggor.
“Baru-baru ini, kita juga mengenal pasti Mersing, Segamat dan Batu Pahat sebagai kawasan yang menunjukkan aktiviti gegaran kecil,” ujarnya. – TVS
