OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Ribut Sijangkang: 4,000 pelajar teruskan PdPR, tempoh baik pulih sekolah ambil masa 3 bulan - Amirudin

Ribut Sijangkang: 4,000 pelajar teruskan PdPR, tempoh baik pulih sekolah ambil masa 3 bulan - Amirudin

KUALA LANGAT: Lebih 4,000 pelajar di tiga sekolah rendah dekat Sijangkang, di sini, yang terkesan akibat ribut minggu lalu meneruskan Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) sehingga habis penggal persekolahan hingga akhir tahun ini.

Pelaksanaan kaedah tersebut diteruskan susulan kerja baik pulih bagi Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya, SK Kampung Medan dan SK Jalan Tanjung akan mengambil tempoh sehingga tiga bulan.

Bagaimanapun, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sijangkang Jaya yang sudah disahkan selamat selepas kerja pembaikan bumbung di blok akademik siap dan kira-kira 2,000 pelajarnya termasuk lebih 400 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kembali ke sekolah seperti biasa bermula hari ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerja pembaikan bagi sekolah terjejas membabitkan kos sebanyak RM10.1 juta yang diluluskan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Katanya, peruntukan tersebut bagaimanapun hanya membabitkan pembinaan semula struktur terutama pada bahagian bumbung dan tidak termasuk kos pendawaian elektrik serta peralatan yang rosak.

 

"Pelajar terlibat dengan peperiksaan SPM dibenarkan untuk masuk (bersekolah) dan (kawasan sekolah) diisytiharkan selamat. Kerja pembersihan sudah selesai dan kita tumpukan ia di sini untuk memberi peluang kepada mereka yang akan menduduki peperiksaan pada 2 November ini.

"SMK Sijangkang Jaya sudah 90 peratus selesai, hanya di bangunan makmal yang perlu dibaiki," katanya.

Terdahulu Amirudin melawat dan mendengar taklimat mengenai kerja baik pulih empat sekolah di Sijangkang, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan mendapatkan senarai peralatan dan kelengkapan yang perlu diganti daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Langat sekiranya memerlukan bantuan peruntukan tambahan.

Media sebelum ini melaporkan, lima sekolah termasuk Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan mengalami kerosakan susulan insiden ribut dan puting beliung pada 15 Oktober lalu.

Bencana tersebut menyebabkan kerosakan pada struktur bumbung, peralatan sekolah serta beberapa kemudahan lain sehingga memaksa lebih 4,000 pelajar meneruskan pembelajaran secara PdPR.

Insiden tersebut turut memusnahkan sebuah pusat khidmat penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang dan mencetuskan kerosakan di 40 buah rumah di kawasan berhampiran.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search