OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Malaysia perlu ambil kira risiko iklim masa depan dalam perancangan infrastruktur bandar - CDRI

Malaysia perlu ambil kira risiko iklim masa depan dalam perancangan infrastruktur bandar - CDRI

NEW DELHI: Malaysia perlu mengambil kira risiko iklim pada masa depan seperti kenaikan paras laut dan cuaca ekstrem, dalam perancangan infrastruktur bandar untuk mengelakkan kos baik pulih yang tinggi kelak, menurut sebuah kumpulan penyelidikan bencana antarabangsa.

Penasihat bagi Daya Tahan Bandar, Gabungan Untuk Infrastruktur Tahan Bencana (CDRI), Umamaheshwaran Rajasekar, berkata pergantungan semata-mata pada data sejarah untuk mereka bentuk infrastruktur sudah tidak lagi mencukupi.

Beliau berkata, ia kerana pemanasan global mengubah corak risiko, terutama di bandar pesisir yang terdedah kepada ribut siklon.

"Apa yang kita lihat secara global ialah peningkatan suhu permukaan laut yang meningkatkan kemungkinan berlakunya ribut siklon.

"Bandar-bandar seperti di Malaysia mesti bersedia menghadapi perubahan iklim ini sejak peringkat perancangan serta reka bentuk, dan bukannya bergantung pada penyelesaian selepas pelaburan yang akan menelan kos sangat tinggi," katanya pada sesi taklimat bersama pemberita, kelmarin.

Rajasekar memaklumkan bahawa negara seperti India sudah bekerjasama dengan CDRI dalam pengurusan risiko banjir.
 

Katanya, Malaysia dan Singapura juga berdepan cabaran serupa apabila urbanisasi pesat menumpukan lebih ramai penduduk serta infrastruktur di bandar.

Beliau berkata, Malaysia boleh mendapat manfaat daripada perkongsian ilmu serantau dengan mempelajari cabaran dihadapi negara lain, sambil turut menyumbangkan amalan terbaik kepada jiran dengan konteks serupa seperti Myanmar, India dan Bangladesh.

"Sesetengah penyelesaian Eropah mungkin tidak sesuai untuk Asia Selatan, tetapi apa yang berkesan di Malaysia boleh juga diterapkan di bahagian lain rantau ini.

"Perkongsian adalah kunci. Malaysia boleh mengelakkan kesilapan yang dibuat di tempat lain, dan terus melonjak ke arah sistem lebih berdaya tahan," katanya.

Beliau mengambil Delhi sebagai contoh di mana CDRI membantu pihak berkuasa mengoptimumkan dana mitigasi banjir bernilai AS$100 juta.

Ia dengan memberi keutamaan kepada projek seperti memulihkan badan air, menjadikan taman sebagai kolam tadahan banjir, serta menggunakan sistem amaran awal berasaskan sensor.

Rajasekar menegaskan perancangan lebih awal bukan saja akan melindungi bandar-bandar di Malaysia, malah meletakkan negara sebagai penyumbang penyelesaian tempatan bagi memperkukuhkan daya tahan di rantau ini.

CDRI ialah sebuah kerjasama antara kerajaan negara-negara, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bank pembangunan pelbagai hala serta mekanisme pembiayaan, sektor swasta dan institusi pengetahuan.

Ia bertujuan menggalakkan daya tahan sistem infrastruktur baharu dan sedia ada terhadap risiko iklim serta bencana untuk menyokong pembangunan mampan.

CDRI mempromosikan pembangunan pesat infrastruktur berdaya tahan bagi menyokong matlamat pembangunan mampan dalam memperluaskan akses sejagat kepada perkhidmatan asas, membolehkan kemakmuran dan pekerjaan wajar.

Ia juga menyediakan pelbagai perkhidmatan, termasuk sokongan tindak balas dan pemulihan bencana, inovasi, bantuan pembangunan kapasiti institusi dan komuniti, penyelidikan kolaboratif, laporan penanda aras global serta pangkalan data global mengenai ketahanan infrastruktur dan sektor.

 

 

 

 
Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search