Hujan lebat di Pantai Barat Sabah, 412 mangsa berpindah
- Admin UKK
- Berita
PENAMPANG, 12 Sept: Hujan lebat berterusan sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan di pantai barat Sabah dilanda banjir, sekali gus memaksa 412 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Penampang dan Beaufort.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, di Penampang seramai 179 mangsa kini ditempatkan di empat PPS iaitu Kompleks Sukan Penampang (55 orang), SMK Datuk Peter Mojuntin (88), SK St Paul Kolopis (9) dan Dewan Huguan Siou, Tuavon (27).
Di Beaufort pula, seramai 233 mangsa daripada 69 keluarga dipindahkan selepas lapan kampung dinaiki air.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan hujan lebat dan ribut petir akan terus melanda pantai barat Sabah sepanjang minggu ini, dengan risiko limpahan sungai serta banjir kilat di kawasan rendah.
Orang ramai diingatkan agar mengutamakan keselamatan dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – TVS