Pakistan bertarung masa selamatkan 1.6 juta orang diancam banjir besar
- Admin UKK
- Berita
ISLAMABAD: Pihak berkuasa Pakistan sedang bertarung dengan masa untuk menyelamatkan sekurang-kurang 1.6 juta orang yang diancam banjir besar berikutan air sungai melimpah ke kawasan kampung, menurut pegawai dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Agensi PBB berkaitan bencana memaklumkan sejak akhir Jun lalu, limpahan air sungai dan tasik glasier, banjir termasuk di bandar, tanah runtuh akibat hujan monsun, serta hujan lebat luar biasa telah meragut 928 nyawa.
Menurutnya, hampir enam juta orang telah terjejas akibat banjir melanda wilayah Himalaya di utara, kawasan pergunungan barat laut dan dataran tengah, setakat ini.
Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) berkata, seramai 1.6 juta penduduk lagi berisiko diancam banjir besar serta berkemungkinan perlu dipindah atau diselamatkan susulan air sungai melimpah ke wilayah Sindh di selatan.
"Kami telah memindahkan kira-kira 200,000 orang dari tebing sungai dan bersedia untuk menyelamatkan lebih ramai lagi," kata Ketua Menteri Sindh, Murad Shah.
Pasukan penyelamat dan tentera dengan sokongan bot serta helikopter sudah memindahkan lebih dua juta orang di wilayah Punjab, termasuk hampir 300,000 dalam tempoh dua hari lalu, menurut agensi itu.
Sekolah ditutup dan jalan raya lengang di bandar pelabuhan Karachi, semalam, selepas hujan lebat semalaman menyebabkan hampir seluruh bandar itu ditenggelami air.
Musim monsun yang membawa hujan lebat di rantau Asia Selatan dari Julai hingga September, semakin tidak menentu serta lebih dahsyat dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini akibat perubahan iklim, sehingga meragut ribuan nyawa dan menjejaskan jutaan orang setiap tahun.
Lebih 2,000 orang maut dalam banjir besar serta wabak penyakit yang tercetus selepas itu di Pakistan pada 2022.