21 mangsa banjir dipindahkan ke PPS Selagon
- Admin UKK
- Berita
BEAUFORT: Seramai 21 mangsa banjir daripada lima keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Selagon selepas kediaman mereka di Kampung Kukup dan Kampung Kangsa, di sini, dinaiki air, petang tadi.
Dalam kejadian itu, sebuah keluarga membabitkan empat mangsa terperangkap di Kampung Kukup, manakala empat keluarga lagi membabitkan 17 mangsa terkandas di Kampung Kangsa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Penolong Penguasa Bomba, Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.30 petang sebelum empat anggota digerakkan ke lokasi kejadian dengan sebuah jentera pacuan empat roda.
"Setiba di lokasi, pasukan mendapati terdapat 21 mangsa terperangkap di dalam banjir.
"Semua mangsa berjaya dipindahkan ke PPS Selagon dengan menggunakan lori bomba," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Katanya, tiada kecederaan dilaporkan dan pemantauan berterusan akan dilakukan dari semasa ke semasa berikutan cuaca tidak menentu.