Indonesia alami 4,071 gempa bumi sepanjang Ogos
- Admin UKK
- Berita
JAKARTA: Indonesia mengalami 4,071 gempa bumi sepanjang Ogos lalu, menurut laporan Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG).
Daripada jumlah itu, 21 gempa bumi direkodkan melebihi 5.0 skala Richter, manakala 4,050 lagi gegaran berada di bawah paras tersebut, dengan kebanyakannya kecil dan tidak dirasai penduduk.
Pengarah Gempa Bumi dan Tsunami BMKG, Daryono, berkata, daripada ribuan gempa bumi itu, 90 daripadanya dirasai penduduk dan tiga menyebabkan kerosakan.
“Namun, gempa bumi di bawah 5.0 skala Richter lebih banyak direkodkan dan hanya sebilangan kecil yang dirasai orang ramai,” katanya dalam kenyataan, kelmarin.
Tiga kejadian yang menyebabkan kerosakan termasuk gempa 6.3 skala Richter di Sarmi, Papua pada 12 Ogos, di Paso, Sulawesi Tengah (5.8 skala Richter) pada 17 Ogos dan gegaran 4.7 skala Richter di Karawang, Jawa Barat pada 20 Ogos.
Daryono menggesa orang ramai supaya sentiasa merujuk kepada maklumat rasmi, dan memberi amaran terhadap dakwaan tidak sahih mengenai ramalan gempa bumi.
“Mereka yang benar-benar memahami seismologi sangat berhati-hati dan tidak akan sesekali membuat ramalan secara terbuka.
“Ironinya, mereka yang kurang ilmu sering menjadi pihak yang membuat dakwaan sedemikian,” katanya.
Indonesia merupakan antara negara yang paling terdedah kepada bencana di dunia kerana terletak di beberapa plat tektonik.
Negara itu kerap merekodkan ribuan gempa setiap tahun.- AGENSI