Hampir 2,000 tentera dikerah padam 20 kebakaran hutan besar di Sepanyol
- Admin UKK
- Berita
MADRID: Gelombang haba di Sepanyol tidak menunjukkan tanda-tanda reda apabila suhu terus meningkat sehingga 45 darjah Celsius, menyebabkan 20 kebakaran hutan besar tercetus di seluruh negara.
Keadaan itu menyebabkan 500 lagi anggota tentera dikerah ke lokasi kebakaran, menjadikan seramai 1,900 tentera berada di seluruh negara bagi memadam kebakaran hutan.
Di wilayah Galicia, 12 kebakaran utama mengelilingi bandar Ourense menyaksikan penduduk dipindahkan, rumah terancam dan asap tebal.
Sehubungan itu, pihak berkuasa mengarahkan penduduk setempat memakai pelitup muka dan mengurangkan aktiviti luar.
“Hari-hari mendatang sangat mencabar. Cuaca langsung tidak memihak kepada kita,” kata Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez.
Perkhidmatan kereta api laju Madrid-Galicia juga digantung sementara waktu.
Pihak berkuasa Sepanyol memaklumkan, pesawat bantuan dari Belanda, Perancis, dan Itali kini dalam perjalanan untuk membantu negara ini memadam kebakaran hutan.
Menurut Virginia Barcones, Ketua Perkhidmatan Kecemasan Sepanyol, bantuan dari negara luar sangat diperlukan kerana keadaan semakin teruk setiap hari.
“Keadaan sangat genting. Kami menjangkakan suhu mula menurun pada Selasa, tapi untuk saat ini, semuanya sangat tidak menyebelahi kami,” katanya.
Gelombang haba yang melanda juga menyaksikan kawasan hutan seluas 155,000 hektar musnah terbakar di Portugal tahun ini.
Jumlah itu tiga kali ganda berbanding purata biasa dengan lapan lagi kebakaran hutan masih marak di kawasan pelancongan.
Kebakaran bukan hanya ‘membakar’ Sepanyol dan Portugal. Greece, Bulgaria, Montenegro dan Albania turut menghantar permintaan rasmi kepada pasukan pemadam kebakaran Kesatuan Eropah (EU).
Di Turkiye, 19 kematian dicatatkan akibat kebakaran. Pada Ahad, kerajaan memindahkan kawasan bersejarah Gallipoli selepas api mula menghampiri kawasan penempatan dengan enam kampung dipindahkan.