Selepas gagal capai kata putus, rundingan akhiri pencemaran plastik dilanjutkan
- Admin UKK
- Berita
GENEVA: Rundingan antara lebih 180 negara bagi membentuk perjanjian global pertama yang mengikat secara sah untuk menangani pencemaran plastik dilanjutkan selepas para peserta gagal mencapai kata sepakat pada hari terakhir pertemuan di Geneva.
Delegasi kini menunggu draf baharu selepas teks cadangan sebelumnya ditolak oleh negara-negara yang mahukan pendekatan lebih menyeluruh terhadap krisis plastik global.
Negara seperti Panama, Kenya, United Kingdom dan Kesatuan Eropah menyatakan kekecewaan apabila artikel penting mengenai kitaran penuh pencemaran plastik, termasuk pengeluaran, penggunaan, pelupusan dan kesan kesihatan digugurkan daripada draf asal.
Sebaliknya, negara-negara pengeluar minyak seperti Arab Saudi, Rusia dan Iran menolak sebarang usaha untuk mengehadkan pengeluaran plastik baharu. Mereka lebih cenderung untuk memberi tumpuan kepada pengurusan sisa sahaja.
“Ini bukan soal mengurangkan cita-cita, tetapi menjadikannya realistik untuk semua,” kata wakil Kuwait, menegaskan perjanjian tidak boleh diwujudkan tanpa konsensus.
Pengerusi rundingan, Luis Vayas Valdivieso, mengumumkan sesi akan diteruskan ke hari berikutnya dengan harapan draf kompromi dapat dikemukakan dan diterima semua pihak.
Pertikaian utama berkisar pada skop perjanjian sama ada ia perlu menyasarkan keseluruhan rantaian nilai plastik atau hanya memberi fokus kepada pengurusan sisa plastik.
Rundingan ini juga berlaku di tengah-tengah amaran keras daripada OECD, yang meramalkan tanpa tindakan tegas, pengeluaran plastik global boleh meningkat tiga kali ganda menjelang 2060, sekali gus memburukkan pencemaran laut, kesihatan awam dan perubahan iklim.
Pertubuhan alam sekitar seperti WWF dan Greenpeace mengkritik keras draf semasa, menyifatkannya sebagai “lemah” dan “pengkhianatan terhadap kemanusiaan.”
Mereka menuntut agar perjanjian akhir kelak merangkumi pengurangan pengeluaran plastik dan penghapusan bahan kimia berbahaya dalam produk plastik.
Rundingan ini merupakan pusingan keenam sejak proses perjanjian dimulakan, selepas rundingan terakhir di Korea Selatan tahun lalu turut menemui jalan buntu.