OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Kelantan mohon beri perhatian projek Empangan Lebir

Kelantan mohon beri perhatian projek Empangan Lebir

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi keutamaan kepada projek pembinaan Empangan Lebir di Kuala Krai, dekat sini kerana ia adalah salah satu struktur mitigasi banjir.

Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, beliau juga berharap kerajaan persekutuan dapat memberi keutamaan kepada pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau di Tunjong, pembentukan Zon Ekonomi Khas Rantau Panjang dan pembangunan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) serta pembinaan Pusat Pemprosesan dan Pembungkusan Berpusat di Lojing, Gua Musang.

“Pembinaan pusat itu bertujuan menjadikan Kelantan sebagai hab pengeluaran makanan utama negara,” katanya semasa berucap pada Penutup Program Madani Rakyat 2025 Kelantan yang disempurnakan oleh Perdana Menteri di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini.

Mohd. Nassuruddin berharap segala perkara itu diberikan perhatian sewajarnya oleh Perdana Menteri di samping inisiatif yang telah diumumkan melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) demi memastikan negeri Serambi Mekah ini tidak terus ketinggalan dalam arus pembangunan nasional. 

“Sudah tiba masanya Kelantan turut duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negeri-negeri lain, khususnya dalam aspek infrastruktur, pelaburan dan kesejahteraan rakyat. 

“Dengan menjunjung semangat federalisme, saya percaya jurang pembangunan dapat dirapatkan, sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat Kelantan secara inklusif dan berdaya saing,” katanya.

Mohd. Nassuruddin berkata, kerajaan negeri telah meneliti pembentangan RMK13 terutama melibatkan aspek pembangunan strategik kepada Kelantan yang memberikan kesejahteraan kepada rakyat secara menyeluruh. 

“Bagi pihak kerajaan negeri dan seluruh rakyat Kelantan, kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri atas peruntukan dan sokongan berterusan kepada Kelantan.  

“Pelbagai projek besar telah dikenal pasti untuk dilaksanakan di Kelantan melalui RMK13 seperti pembinaan loji rawatan air di Machang, pembangunan industri pembinaan kapal (SBSR), pengoperasian ECRL, pembangunan hab ekonomi biru, penaiktarafan pelabuhan Tok Bali serta pelaksanaan projek tebatan banjir di Sungai Golok,” katanya. – UTUSAN

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search